Jamal Yunos Lancar 'Merah V2' Bantah Bersih 5 - Berita Semasa | mStar

Jamal Yunos Lancar 'Merah V2' Bantah Bersih 5

Diterbitkan: Rabu, 28 September 2016 11:20 PM

Gambar fail.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia pada Rabu melancarkan gerakan 'Merah V2' bagi membantah perhimpunan Bersih 5 di ibu negara, November depan.

Pengerusinya, Datuk Jamal Md Yunos berkata peserta gerakan 'Merah V2' akan berada di tujuh lokasi iaitu Johor Bahru, Perak, Perlis, Kelantan, Sabah, Sarawak serta Pulau Pinang bermula Sabtu (1 Okt).

Menurut Jamal, terdapat lebih 2,000 peserta akan berada di lokasi berkenaan pada satu-satu masa bagi menentang penganjuran Bersih 5.

"Ini merupakan lokasi jelajah konvoi Bersih 5 yang diumumkan Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah dan kami tambah satu lagi lokasi di Pulau Pinang.

"Kami turun ke Pulau Pinang untuk membuat bantahan terhadap kerajaan negeri di bawah pentadbiran Ketua Menterinya Lim Guan Eng," katanya dalam sidang media di sini.

Beliau berkata gerakan 'Merah V2' mempertahankan sistem Demokrasi Berpelembagaan yang sedia ada di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Perhimpunan Bersih 5 tidak mempunyai objektif jelas serta mengelirukan pemikiran rakyat," katanya.

Sementara itu, Jamal mendakwa perhimpunan Bersih 5 dipengaruhi oleh elemen militan Daesh dan laporan mengenainya akan diserahkan kepada pihak polis.

"Saya dapat daripada sumber yang meyakinkan," katanya.

Sebelum itu, Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin memberitahu sidang media bahawa pihaknya merancang mengadakan acara konvoi di seluruh negara menjelang perhimpunan itu.

Tags / Kata Kunci: Jamal Md Yunos , Merah V2 , Bersih 5
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan