Pemilihan MPP Usim 2016 Khamis Ini

Diterbitkan: Selasa, 27 September 2016 3:10 PM

(Ubah saiz teks)

NILAI: Wakil pelajar yang akan membarisi kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) baharu bagi sesi 2016/2017 akan diketahui pada hari pengundian Khamis ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Usim, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata seramai 35 calon disahkan bertanding kali ini dengan 13 calon bertanding di kerusi umum dan 22 calon di kerusi fakulti.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan MPP 2016 berkata, kempen secara rasmi oleh calon yang bertanding telah bermula sejak Jumaat lepas melalui pengenalan calon pemilihan MPP yang dihadiri pengurusan universiti, pentadbiran fakulti serta para mahasiswa di Dewan Kolej Permata Insan di sini.

Suasana kempen di dalam kampus berjalan dengan baik setakat ini dengan rangkaian media sosial dimanfaatkan sebaik mungkin oleh calon dan jentera penyokong untuk menghebahkan manifesto masing-masing di samping pendekatan turun padang menemui para mahasiswa, katanya.

Hassan Basri berkata proses penamaan calon yang diadakan pada 20 hingga 23 Sept lepas menjalani pembaharuan apabila dilaksanakan secara dalam talian meliputi proses permohonan, pencadangan, sokongan pencadangan, pengesahan dan penerimaan.

"Pelajar yang melaksanakan pendaftaran penamaan menggunakan sistem e-UNDI yang boleh diakses melalui portal i-Student masing-masing seterusnya membayar wang cagaran sebanyak RM100 di Bahagian Hal Ehwal Pelajar," katanya dalam kenyataan di sini, Selasa.

Beliau berkata bagi melicinkan proses pengundian yang dilaksanakan secara dalam talian menerusi e-UNDI itu, sebanyak lapan buah pusat pengundian dibuka dan pelajar boleh membuat pengundian di mana-mana pusat mengikut waktu yang ditetapkan.

"Sebelum ini, pelajar hanya dibenarkan membuang undi di fakulti-masing sahaja tetapi kini mereka boleh menunaikan tanggungjawab di pusat pengundian baharu yang diwujudkan antaranya di Darul Quran Jakim, Kuala Kubu Bharu, Selangor dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah, Temerloh, Pahang.

"Calon-calon yang bertanding dalam pemilihan ini tidak mewakili mana-mana kumpulan atau gerakan yang berunsurkan pengaruh parti politik dan lain-lain, sebaliknya bertanding atas kapasiti diri masing-masing untuk membawa suara dan membela kebajikan mahasiswa di kampus.

"Perkara ini juga selari dengan pendirian universiti sejak sekian lama tidak mengiktiraf mana-mana kumpulan seperti ini kerana akan memberi kesan yang tidak harmoni di dalam universiti," katanya.

Hassan Basri berkata majoriti calon yang bertanding mempunyai kelebihan tersendiri kerana kepimpinan mereka telah digilap awal melalui kelab, persatuan pelajar dan sekretariat fakulti yang dianggotai mereka sebelum ini.

Beliau berkata universiti menyasarkan 80 peratus pelajar akan turun mengundi pada Khamis nanti dan dijangka keputusan penuh akan dapat diumumkan pada pukul 6 petang hari yang sama.

Tags / Kata Kunci: Usim , MPP

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan