Kanak-Kanak Pesakit Kanser Hanya Mahu Mainan Lego

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2016 10:12 AM

Muhammad Danish Maarif

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Sekumpulan rakyat Malaysia yang prihatin menyeru sumbangan hadiah Lego untuk pesakit kanser berusia 11 tahun, Muhammad Danish Maarif melalui projek 'Legoland Untuk Danish'.

"Ibunya memberitahu saya bahawa Muhammad Danish suka main Lego dan mahu pergi ke Legoland, tetapi pada Jumaat, doktor mengisytiharkan bahawa tiada apa yang dapat dilakukan lagi kerana sek-sel kanser telah merebak," kata salah seorang penyelaras projek, Wan Shahriza Wan Ab Rahman.

"Kemoterapi telah dihentikan dan pembedahan yang dijadualkan telah dibatalkan.

"Muhammad Danish ketika ini amat lemah dan dia dibenarkan pulang ke rumah untuk berehat," kata Wan Shahriza.

Beliau, dalam satu posting di Facebook berkata keadaan Muhammad Danish yang terlalu lemah untuk ke Legoland di Johor, telah membuatkannya terpanggil untuk bercakap dengan penganjur bersama 'Legoland Untuk Danish', MaryAnne Isaac Ethan dan Maz Waheed.

"Saya memberitahu mereka jika kita tidak dapat membawanya ke Legoland, marilah kita 'bawa Legoland' kepadanya," kata Wan Shahriza.

Satu posting Facebook turut dikongsi oleh Ethan, yang menyifatkan Muhammad Danish sebagai seorang kanak-kanak yang sangat kuat semangat dalam berjuang melawan osteosarcoma (kanser tulang).

"Senyumannya di sebalik pengalaman pahit yang sangat sukar untuk dilalui itu sangat ikhlas.

"Jika anda fikir hidup ini sukar, salah satu kaki Muhammad Danish telah dipotong, sebahagian daripada paru-parunya telah  dibuang dan kini dia telah dihantar pulang kerana tiada apa lagi yang doktor boleh lakukan untuk mengubatinya.

"Dia sukakan Lego dan melawat Legoland merupakan salah satu impiannya, tetapi dia tidak dapat berkunjung ke sana," kata Ethan dalam posting Facebooknya.

Ethan menambah disebabkan Muhammad Danish berada dalam keadaan lemah dan kritikal, tarikh akhir bagi projek 'Legoland Untuk Danish' adalah pada hari Khamis (29 Sept).


Beliau menggesa rakyat Malaysia yang prihatin untuk 'membawa' Legoland kepada Muhammad Danish.

Bagi yang ingin mambantu, mereka boleh memasang Lego mengikut kreativiti, selain meletakkan kasih dan sifat kemanusiaan, dihiasi doa dan dan harapan terbaik sebelum ia dihantar kepada penganjur projek di alamat: Maktab Rendah Sains Mara Kuantan, Jalan Tok Sira 25050 Kuantan.

Atau hubungi 019-9323361 (Whatsapp sahaja).
Tags / Kata Kunci: Legoland , lego , kanser , Muhammad Danish Maarif

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan