Syarikat Insurans Jangan Cuba Menidakkan Tuntutan Pemegang Polisi - Jamal

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2016 2:59 PM

Datuk Jamal Md Yusof bercakap kepada pemberita mengenai kekecewaannya terhadap syarikat insurans perlindungan perubatan, Isnin.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Syarikat insurans yang memberi perlindungan perubatan di negara ini diminta lebih bertanggungjawab terhadap pelanggan, bukan sekadar menjanjikan 'bulan dan bintang'.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Melayu, Datuk Jamal Md Yunos mendakwa kebanyakan syarikat insurans lebih mengutamakan keuntungan dan cuba menidakkan bayaran kepada pelanggan sepertimana tercatat dalam polisi.

"Mereka ini perlu ikhlas dan jujur tidak hanya memikirkan kepentingan syarikat, hari-hari mesyuarat untuk tingkatkan keuntungan sahaja dan cuba menidakkan bayaran tuntutan pemegang polisi.

"Walau apa pun garis panduan yang diberikan oleh Bank Negara Malaysia (BNM), mereka 'kona' (melencong) juga sana-sini. Akhirnya rakyat yang jadi mangsa dan kerajaan akan dipersalahkan," katanya kepada pemberita di luar perkarangan Hospital Ampang Puteri di sini, Isnin.

Jamal berkata demikian bagi menunjukkan rasa kesalnya terhadap sebuah syarikat insurans perubatan yang didakwa sengaja merumitkan proses tuntutan apabila anaknya sakit baru-baru ini.

Menurut Jamal, beliau terpaksa berhutang kad kredit apabila mendapati kos rawatan anaknya tidak dilindungi oleh syarikat insurans berkenaan yang tidak didedahkan namanya.

"Saya anggap bagi pihak saya masalah peribadi ini telah selesai kerana saya telah melantik peguam.

"Sidang media hari ini bukan peribadi saya tetapi pengalaman itu perlulah dikongsi kepada orang ramai supaya akan datang masyarakat tidak lagi menjadi mangsa keadaan syarikat insurans yang hanya mahu kaut keuntungan berlebihan," katanya.

Ketua Umno Bahagian Sungai Besar ini mendakwa, masalah itu sudah lama berlaku di negara ini, justeru kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap syarikat-syarikat yang tidak mengikut garis panduan ditetapkan.

Katanya, selain pemegang polisi, ejen-ejen yang dilantik juga menjadi mangsa dan dilihat 'diperkudakan' oleh syarikat insurans tertentu.

"Syarikat mempergunakan ejen-ejen apabila mereka dimarahi, dimaki oleh pesakit kerana mereka tak tahu siapa yang perlu dihubungi apabila ejen tidak dapat menunaikan hajat seperti yang termaktub dalam polisi.

"Saya kasihan dengan ejen-ejen yang hanya cari makan dengan syarikat berkenaan tetapi terpaksa menanggung tohmahan. Bangunan syarikat bertambah tinggi dan besar, gaji CEO, pengarah bertambah tapi ejen dan orang ramai yang jadi mangsa," katanya.

Sementara itu, Pengarah Unit Tindakan Khas Persatuan Pengguna Islam Malaysia Muhammad Yusuf Azmi berkata, pihaknya telah menerima lebih 1,000 aduan pengguna berhubung isu ini sejak dua tahun lalu.

Katanya, tindakan tegas perlu diambil oleh kerajaan terhadap syarikat-syarikat insurans ini yang dilihatnya kebal dalam sistem perundangan negara.

"Mereka janjikan bulan dan bintang tetapi menyusahkan rakyat akhirnya. Banyak benda yang ada dalam polisi tak sama dengan apa yang berlaku pada hari ini.

"Apabila difailkan kes di mahkamah, mereka seolah-olah mempunyai kekuatan dalam sistem perundangan negara," katanya.

Katanya, kebanyakan kes yang diterima tidak datang daripada pengguna yang mempunyai kewangan besar, sebaliknya daripada golongan biasa yang sanggup membayar insurans perlindungan sebagai langkah berjaga-jaga.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan