Tragedi Go Kart: Penganjur Perlu Lebih Sensitif, Bertanggungjawab

Diterbitkan: Isnin, 26 September 2016 4:52 PM

Dua beranak maut selepas dirempuh kenderaan jenis 'Go Kart' yang hilang kawalan ketika dalam perlumbaan ketika kedua-duanya sedang menonton Perlumbaan Automotif dan Inovasi Pendidikan 2016 (EIMARACE 2016) di Kompleks Tertutup Sukan Pahang (SUKPA) pada 25 September 2016. - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUANTAN: Penganjur Perlumbaan Automatif dan Inovasi Pendidikan (EIMARace) seharusnya lebih bertanggungjawab dan menjaga sensitiviti apabila mengeluarkan kenyataan, khususnya jika melibatkan kehilangan nyawa.

Anggota Parlimen Kuantan Fuziah Salleh berkata penganjur juga tidak sewajarnya terburu-buru mengeluarkan kenyataan, sebaliknya mendapatkan penjelasan daripada pihak berkenaan bagi menjaga hati keluarga.

"Saya agak ralat apabila melihat kenyataan dikeluarkan seperti mereka tidak berada di kawasan yang dikhaskan kepada penonton. Sewajarnya perkara demikian tidak dibangkitkan semasa keluarga sedang bersedih.

"Ini ditambah pula dengan aspek keselamatan yang agak longgar seperti hanya menggunakan penghadang plastik yang tidak diletakkan air dan ketiadaan anggota keselamatan yang melarang mereka daripada duduk di kawasan itu," katanya kepada Bernama di sini, Isnin.

Fuziah ditemui semasa melawat keluarga penyelia Izwan Isa, 39, yang meninggal dunia akibat dirempuh kenderaan jenis go-kart semasa menonton EIMARace 2016 di Jalan Sukpa, Indera Mahkota di sini, Ahad.

Turut maut ialah anak bongsunya Nur Zulaikha, 5, manakala isterinya Siti Suhaiza Seman, 38, dan anak sulung mereka Muhammad Izz Danial, 7, cedera kerana tidak sempat melarikan diri semasa dirempuh kenderaan yang dikatakan terbabas.

Izwan yang merupakan penyelia kilang di Gebeng di sini, meninggal dunia di tempat kejadian manakala Nur Zulaikha meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA).

Fuziah berkata pihaknya juga menggesa supaya kerajaan negeri dan penganjur untuk lebih berhati-hati dalam pemilihan litar dan tidak menjadikan jalan raya yang biasa sebagai 'trek perlumbaan', yang mudah dimasuki orang awam.

"Saya dapat bercakap dengan isteri arwah (Siti Suhaiza) dan beliau maklumkan semasa kejadian, memang tiada halangan untuk mereka masuk. Mereka masuk seperti biasa. Tiada pegawal keselamatan yang memaklumkan kawasan itu bukan kawasan larangan.

"Malah di kawasan berhampiran juga ada yang menjaja minuman. Perkara ini tidak seharusnya berlaku dan diharapkan penganjur dan kerajaan negeri lebih berhati-hati pada masa hadapan," katanya.

Fuziah berkata Pahang juga mempunyai litar khusus untuk perlumbaan go-kart di Pekan, yang lebih sesuai dan dilengkapi tahap keselamatan yang cukup.

EIMARace dianjurkan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang mendakwa telah mengambil langkah keselamatan sewajarnya selaras dengan saranan Persatuan Sukan Permotoran Malaysia (MAM). - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Go Kart , UTM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan