Penggerak Mahasiswa Diumum Menang Majoriti Kerusi Pemilihan MPPUM 2016/17

Diterbitkan: Ahad, 25 September 2016 6:00 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penggerak Mahasiswa diumumkan memenangi majoriti 29 daripada 40 kerusi yang dipertandingkan pada pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya (MPPUM) bagi sesi 2016/2017.

Jumlah itu merangkumi 24 kerusi Fakulti dan lima kerusi Umum.

Kemenangan Penggerak Mahasiswa bagi 24 kerusi Fakulti itu termasuk 10 calonnya menang tanpa bertanding.

Keseluruhannya, enam kumpulan bertanding pada pemilihan MPPUM kali ini melibatkan 40 kerusi iaitu 32 bagi Fakulti dan lapan untuk kerusi Umum.

Keputusan rasmi dipaparkan di dalam laman web rasmi MPPUM, dan disahkan Naib Canselor UM, Tan Sri Profesor Dr. Mohd Amin Jalaludin.

“Saya dengan ini mengisytiharkan bahawa keputusan MPPUM sesi 2016/2017 yang telah diumumkan pada 22 September 2016 dan keputusan pengundian semula yang diumumkan 23 September 2016 dengan rasminya sah dan dikekalkan," demikian katanya menerusi laman web berkenaan.

Keputusan itu dibuat apabila Jawatankuasa Bantahan memaklumkan tiada sebarang bantahan diterima pada keputusan awal mahupun keputusan pengundian semula.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Induk MPPUM, Dr. David Asirvatham berkata, pelajar berpuas hati dengan keputusan pemilihan dan sekali gus tiada bantahan diterima.

“Tahun ini terdapat peningkatan jumlah calon dan juga pengundi. Salah satu faktornya kerana kami menggunakan sistem e-undi, berbanding sesi sebelum ini yang menjalankan proses mengundi secara manual,” tambahnya.

Selain itu, calon Penggerak Mahasiswa, Hazwan Syafiq Haznain yang memenangi kerusi Umum berkata, pelantikan jawatankuasa yang baharu akan diadakan minggu hadapan.



Tags / Kata Kunci: MPPUM , Penggerak Mahasiswa

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan