BN Tubuh Jawatankuasa Teliti Pandangan Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya

Diterbitkan: Jumaat, 23 September 2016 7:20 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa di peringkat Barisan Nasional (BN) telah ditubuhkan untuk mengambil kira pandangan pelbagai pihak mengenai cadangan persempadanan semula oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN berkata, jawatankuasa itu ditubuhkan selepas wujudnya percanggahan pendapat mengenai cadangan tersebut dikalangan parti komponennya.

"BN termasuk Umno ada pendapat yang berbeza dengan cadangan awal pihak SPR kerana ada banyak kesan dan implikasi yang perlu diambil kira dalam beberapa aspek.

"Mudah-mudahan kita akan dapat keputusan yang dilihat adil kepada semua," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Tertinggi BN di Menara Dato Onn di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada Jumaat.

Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dipengerusikan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor selain turut dianggotai semua setiausaha agong parti komponen BN untuk menyelaraskan cadangan balas terhadap cadangan tersebut.

"Oleh itu, mesyuarat putuskan supaya BN termasuk semua parti komponen akan menyeragamkan pandangan melalui  sebuah jawatankuasa untuk kita selaraskan cadangan balas," katanya.

Jelas Najib, cadangan persempadanan semula oleh SPR itu masih boleh diperhalusi selagi kata putus mengenainya belum dimuktamadkan. 

"Saya rasa ini cadangan asal bukan keputusan muktamad kerana Umno turut mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu," ujarnnya.

Malah Najib yakin SPR boleh membuat pertimbangan yang sewajarnya kerana ia sebuah badan bebas yang akan meneliti cadangan itu sebelum mengutarakannya tanpa melibatkan kepentingan mana-mana pihak.

Najib berkata, keputusan muktamad mengenai cadangan itu akan dibuat selepas penilaian melalui proses penglibatan orang ramai.

"Kita kena lalui proses penglibatan orang ramai termasuk dia antara parti komponen dengan pembangkang dalam hal ini. Selepas itu baharulah boleh buat keputusan sama ada persempadanan ini adil atau tidak," katanya.

Turut hadir, Presiden MCA Liow Tiong Lai, Presiden Gerakan Mah Siew Kong, Presiden MIC Dr Subramaniam, Presiden parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Dr Sim Kui Hian dan Pengerusi BN Sarawak Adenan Satem.

SPR mula mempamerkan Syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-negeri Tanah Melayu dan Sabah selama sebulan bermula Khamis lalu sehingga 14 Oktober ini.

Di bawah persempadanan semula itu, SPR mencadangkan sebuah kerusi baharu Damansara yang meliputi kerusi Petaling Jaya Utara sebelum ini, dengan bilangan pengundi melebihi 150,000.

Namun cadangan itu menerima reaksi negatif daripada parti pembangkang yang menyifatkannya akan memberi kelebihan kepada BN. 

Tags / Kata Kunci: persempadanan semula , BN

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan