Perhubungan Umno Negeri Selaras Bantahan Persempadanan - Annuar

Diterbitkan: Khamis, 22 September 2016 9:02 PM

Gambar fail petugas SPR, Norazila Mohd Azanir,43, menunjukkan kawasan pada peta lokasi negeri Pahang yang terlibat dalam Kajian Persempadanan Semula kawasan pilihan raya untuk pilihan raya umum akan datang di Pejabat SPR Negeri, baru-baru ini. Foto Bernama

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Semua Badan Perhubungan Umno negeri seluruh negara telah diarah untuk menyelaraskan bantahan terhadap Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata, bantahan itu perlu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

"Semua Bahagian dan Badan Perhubungan Umno negeri telah kita arahkan, agar setiap Badan Perhubungan negeri menyelaraskan bantahan mengikut peraturan sedia ada dan bila SPR laksanakan proses pendengaran ... maka hendaklah dipastikan wakil-wakil hadir apabila diminta SPR untuk buat demikian," katanya pada sidang media di sini, Khamis.

Beliau berkata, banyak bantahan daripada beberapa Bahagian Umno seluruh negara yang seharusnya tidak menyatakan ketidakpuasan hati di media atau membuat tunjuk perasaan. 

Menurutnya, semua Bahagian Umno perlu menyemak semula secara terperinci syor kajian SPR itu agar bantahan dapat dibuat sebelum syor Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah berakhir pada 14 Oktober depan.

Dalam pada itu, Annuar berkata, beliau menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pihak tertentu yang mengatakan kajian persempadanan semula tersebut memberi kelebihan kepada Umno.

"Tanggapan kalau mengatakan ini ada nak beri "favour" kepada Umno... saya menafikan sekeras-kerasnya, sebagai contoh kawasan saya sendiri (Ketereh) saya tidak pernah dihubungi, dirujuk oleh sesiapa, tak ada seorang pun pegawai SPR pernah jumpa saya, saya pun tak jumpa (pegawai SPR). 

"Tiba-tiba bila pameran (kajian persempadanan), saya kehilangan lebih daripada 20 cawangan dalam Bahagian saya, bakal kehilangan 6,000 pengundi," kata anggota Parlimen Ketereh itu. 

Pada 13 September lalu, Setiausaha SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, kajian semula itu dilaksanakan mengikut peruntukan Fasal (2) Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dan pindaan kepada Fasal (2) Perkara 14 Perlembagaan Negeri Sabah yang diwartakan pada 18 Ogos lalu. 

Annuar berkata, pihak yang dibenarkan membuat bantahan adalah kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan yang keseluruhan atau sebahagian kawasannya termasuk bahagian pilihan raya yang berkaitan dengan syor itu selain seratus atau lebih orang yang nama mereka ditunjukkan dalam daftar pemilih semasa bagi bahagian-bahagian pilihan raya berkenaan.

"Apa-apa representasi membantah syor-syor cadangan itu hendaklah dikemukakan secara bertulis dan dialamatkan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri bagi negeri berkenaan," katanya. 

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Hamzah Zainudin berharap mana-mana anggota Parlimen menggunakan saluran yang betul untuk membantah persempadanan semula di negeri-negeri berkaitan.

"Saya sangat bersetuju dengan beberapa anggota ahli politik daripada Umno dan Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dan ingin membawa (membantah) perkara tersebut melalui saluran yang betul kepada SPR," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis tahunan ke-7 Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini.

Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse menyifatkan persempadanan semula yang dicadangkan SPR tidak mematuhi prinsip 'satu orang, satu undi', sedangkan ia adalah asas kepada sistem pilihan raya demokrasi. 

Beliau yang mendakwa cadangan SPR itu seolah-olah memberi kelebihan kepada Umno, meminta sebuah jawatankuasa persempadanan ditubuhkan seperti yang digunakan di United Kingdom (UK) dan India.

"Di UK, ia menetapkan setiap kawasan Parlimen mempunyai seramai 75,000 pengundi, tidak boleh melebihi daripada angka itu," katanya. - Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan