Tiada Pilihan Raya Mengejut Di Selangor - Azmin

Diterbitkan: Rabu, 21 September 2016 5:17 PM

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Selangor tidak akan mengadakan pilihan raya mengejut lebih awal sebelum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyelesaikan proses persempadanan semula yang dicadangkan.

Menteri Besar, Datuk Seri Azmin Ali berkata, ia merupakan keputusan kolektif di kalangan exco kerajaan negeri.

"Exco tidak bersetuju untuk diadakan pilihan raya mengejut pada masa ini," kata Azmin kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco pada Rabu.

Keputusan untuk tidak mengadakan pilihan raya mengejut sekali gus menolak cadangan yang dibawakan oleh pihak DAP.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan Harapan diminta mempertimbangkan untuk mengadakan pilihan raya mengejut di Selangor berikutan cadangan SPR mengenai kawasan persempadanan semula pada pilihan raya.

Ia diikuti desakan Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua bahawa pilihan raya mengejut perlu diadakan sebelum SPR melaksanakannya.

Azmin berkata, negeri perlu memberi tumpuan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap suruhanjaya itu.

"Kerajaan negeri akan membantah terhadap tindakan SPR dan exco akan meneliti peruntukan di dalam Perlembagaan dan memberi tumpuan untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.

Menteri besar berkata, beliau akan menulis surat secara rasmi kepada SPR supaya satu pertemuan diadakan bagi mendapatkan penjelasan berhubung asas mereka mengenai persempadanan semula.

"Jika mereka gagal untuk berjumpa kita dalam tempoh 28 jam, saya dan kerajaan negeri mahu SPR memberikan penjelasan mengenai perkara berkenaan," katanya/

Berhubung pendirian PKR, Azmin yang juga timbalan presiden parti itu berkata, biro politiknya telah mengadakan mesyuarat dan berbincang mengenainya pada Selasa malam.

Tags / Kata Kunci: Azmin Ali , pilihan raya mengejut

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan