Hakim Mahkamah Persekutuan Dahului Senarai Penerima Darjah Kebesaran

Diterbitkan: Selasa, 20 September 2016 3:48 PM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan bergambar selepas Istiadat Pemasyhuran Canselor Widad University College di Istana Negara pada 20 September 2016. Turut kelihatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (duduk,lima,kiri) dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor (duduk,lima,kanan). - BERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed mendahului senarai 207 penerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2016 sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.

Azahar menerima darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran 'Tan Sri' daripada Tuanku Abdul Halim pada majlis yang berlangsung di Istana Negara di sini pada Selasa.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah turut berangkat ke istiadat pengurniaan itu. Hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong disambut 4 Jun lepas.

Turut dikurniakan darjah PSM ialah Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zaharah Ibrahim, Anggota Dewan Negara Senator Tan Sri S. Nallakaruppan serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif The AlloyMtd Group Tan Sri Dr Azmil Khalili Khalid.

Tuanku Abdul Halim juga mengurniakan Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran 'Datuk' kepada 10 penerima termasuk Timbalan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Iskandar Mohamad Kaus.

Penerima PJN lain ialah Pengerusi Eksekutif Capaian Persada Sdn Bhd Datuk Mazli Mohan Alias, Pengarah Bukan Eksekutif Petronas Dagang Berhad Datuk Mohd Farid Mohd Adnan, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Datuk Dr Sharif Haron dan Naib Presiden Persatuan Perabot Malaysia Pulau Pinang Datuk Cha Hoo Peng.

Turut menerima darjah sama ialah Pengarah Eksekutif Sapura Kenchana Petroleum Bhd Datuk Ramlan Abdul Malek, Pengurus Palma Takzim Sdn Bhd Datuk Jamaluddin Mohd Radzi dan Presiden Kebangsaan Persatuan Industri Kecil dan Sederhana Selangor Datuk Kang Hua Keong.

Tuanku Abdul Halim turut mengurniakan PJN kepada Ketua Setiausaha Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi mendiang Datuk Dr A. Sundaran yang diwakili isterinya Datin R. Talagavathi serta Timbalan Pendakwa Raya mendiang Datuk Anthony Kevin Morais yang diwakili adiknya Datuk Richard Dillan Morais.

Sementara itu, tiga individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN), Johan Setia Mahkota (JSM) (lapan orang) dan Kesatria Mangku Negara (KMN) (37 orang).

Dua penerima lagi dianugerahkan Kesatria Setia Diraja (KSD), Ahli Mangku Negara (AMN)(60 orang) manakala 83 penerima dianugerahkan Pingat Pangkuan Negara (PPN). - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Darjah Kebesaran , Istana Negara

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan