Agong Dimasyhurkan Sebagai Canselor Pertama Widad University College

Diterbitkan: Isnin, 19 September 2016 7:00 PM

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bekenan menerima Watikah Pemashyuran Canselor Widad University College daripada Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group, Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah pada Istiadat Pemasyhuran Canselor Widad University College di Istana Negara, Isnin. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Isnin dimasyhurkan sebagai Canselor pertama Widad Universiti College, di Istana Negara, di sini.

Turut berangkat pada istiadat pemasyhuran itu ialah Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Antara kenamaan yang turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mary Yap Kain Ching dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Widad Business Group Tan Sri Muhammad Ikmal Opat Abdullah.

Widad University College yang terletak di Kuantan, Pahang dinaiktaraf daripada Kolej Shahputra pada 2011.

Pada istiadat pemasyhuran itu, baginda bertitah bahawa Widad University College perlu menumpukan sepenuh perhatian kepada bidang pengajian yang boleh menarik perhatian penuntut antarabangsa.

"Dalam aspek ini, beta berpendapat bahawa bidang pengajian sains seperti perubatan, pergigian dan farmasi elok diperkasakan supaya Widad University College dapat berdiri setanding dengan universiti lain di negara ini dan di peringkat antarabangsa yang menawarkan bidang pengajian yang sama.

"Justeru, beta menyeru kepada pihak-pihak yang berkaitan dengan pendidikan khususnya di peringkat pengajian tinggi agar membantu Widad University College ini ke arah mencapai matlamat tersebut," titah baginda.

Tuanku Abdul Halim menyeru institusi tersebut melipatgandakan usaha dari setiap aspek agar institusi itu dapat dibangunkan dengan lebih cemerlang dan sentiasa berada di tahap tertinggi.

"Beta percaya bahawa objektif tersebut boleh dicapai jika pengurusan Widad University College bekerjasama rapat dengan semua pihak yang berkaitan sebagai satu pasukan yang bersepadu ke arah mencapai matlamat bersama, merealisasikan Malaysia sebagai hub pengajian tinggi antarabangsa.

Sementara itu, Muhammad Ikmal dalam ucapan pada awal majlis perisytiharan itu berkata pihaknya yakin institusi tersebut akan mendapat kepimpinan yang tepat dan bimbingan sempurna kerana Tuanku Abdul Halim merupakan cendekiawan dan berpengalaman luas.

Widad Universiti College menggariskan tiga strategi utama dalam usaha transformasi universiti itu antaranya meningkatkan penyertaan pelajar antarabangsa dalam mencapai hasrat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai hub pendidikan serantau. 

iklan

Video

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Kolumnis

iklan

Iklan