Kegemilangan Petronas Lebih Baik Untuk Sarawak, Negara - PM

Diterbitkan: Jumaat, 16 September 2016 6:21 PM

Najib hadir pada majlis ramah mesra dengan kakitangan Petronas di Dewan Suarah Bintulu pada Jumaat. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

BINTULU: Petronas boleh memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan Sarawak dan negara jika ia mencapai kejayaan lebih gemilang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berkata beliau mahu Petronas lebih berjaya kerana ia ibarat 'angsa yang menetaskan telur emas' untuk negara.

Beliau berkata demikian ketika berucap kepada kakitangan Petronas Sarawak di Pusat Sivik di sini sempena sambutan Hari Malaysia 2016 peringkat Kebangsaan.

Turut hadir Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas Datuk Wan Zulkiflee Wan Ariffin serta lebih 1,000 kakitangan Petronas.

Najib berkata Petronas adalah sebuah syarikat besar yang memberi impak tinggi kepada negara ini.

Jelas beliau, selepas penubuhannya pada 1974, Petronas melakar pencapaian yang gemilang bukan sahaja dalam negara tetapi di seluruh dunia.

"Daripada hanya sebuah syarikat minyak negara, ia berubah menjadi syarikat multinasional dan mungkin satu-satunya yang dapat melaksanakan peralihan di seluruh dunia.

"Syarikat ini sekarang bertapak di kira-kira 30 negara yang berbeza di seluruh dunia, dengan membantu membangunkan kemudahan dan bakat," kata beliau.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Petronas kini menjadi kebanggaan dan kesayangan negara selain ikon negara.

"Sekarang, kita perlu jaga Petronas. Sebagai Perdana Menteri, saya mahu ini berlaku untuk membolehkannya terus mencapai kegemilangan," kata beliau.

Najib berkata senario minyak dunia masa kini menyebabkan Petronas menghadapi situasi yang sukar dan mencabar.

Namun beliau yakin ia dapat diatasi bila rakyat bersatu.

"Kita harus mempunyai semangat kekeluargaan yang perlu kita bina. Memang akan ada perbezaan pendapat tetapi kita boleh duduk bersama untuk menyelesaikannya secara baik.

"Kemudian, barulah kita boleh berada dalam kedudukan lebih kukuh.

"Kita tidak akan terlalu berfikiran sempit kerana jika kita terlalu menumpukan perhatian kepada isu ini, kita akan terlepas pandang kejayaan Petronas melakar kegemilangan di peringkat global dan bukan sekadar di negara.

"Kita harus bersatu padu. Kita boleh bersatu jika kita mengambil kira kepentingan Sarawak, negara dan Petronas sendiri.

"Kita boleh mengharmonikannya untuk faedah bersama," kata perdana menteri.

Najib juga berkata Petronas akan terus memberi peluang kepada anak Sarawak menyandang jawatan tinggi dalam syarikat itu berdasarkan merit.

"Malah, kita mahu anak Sarawak yang berkhidmat dengan Petronas di Kuala Lumpur dan di luar negara menempa kejayaan.

"Apabila mereka berjaya, Petronas juga akan berjaya, dan apabila ia berjaya, negara akan mendapat manfaat. Kerajaan akan mengembalikan kepada rakyat apa jua yang ia dapat bagi tujuan pembangunan.

"Jika anda mempunyai keupayaan, anda harus dinaikkan pangkat ke jawatan lebih tinggi," kata beliau.

Baru-baru ini, Petronas menghadapi beberapa masalah kakitangan di Sarawak apabila beberapa kakitangan dinafikan permit kerja namun perkara itu dapat diselesaikan secara baik.

Sementara itu, Najib mengulangi komitmennya untuk membantu Sarawak  membangun dan setaraf dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia.

"Saya komited untuk melihat lebih banyak pembangunan untuk Sarawak. Anda tidak perlu bimbang mengenai masa depan anda," kata beliau. - BERNAMA


Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , Petronas , Sarawak

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan