Isu Pati: Kerajaan Perlu Kaji Pelaksanaan Beku Aset

Diterbitkan: Khamis, 15 September 2016 10:47 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengkaji semula pelaksanaan pembekuan aset terhadap mana-mana majikan yang didapati bersalah melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (Pati), kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).

Pengarah Eksekutifnya Datuk Shamsuddin Bardan berkata pelaksanaan tindakan itu berpotensi mengundang masalah baharu, ia mungkin menyebabkan pekerja tempatan atau asing yang diambil bekerja secara sah di negara ini kehilangan sumber mata pencarian.

"Kalau aset syarikat dibekukan, ia akan membawa kesan besar terhadap pekerja lain. Contohnya majikan tidak dapat meneruskan operasi syarikat dan akan memberhentikan pekerja lain.

"Tindakan tersebut bukan hanya menjejaskan operasi syarikat berkenaan malah secara tidak langsung mendatangkan kesan tidak baik kepada pekerja. Mereka akan hilang pekerjaan," katanya kepada Bernama di sini.

Shamsuddin berkata demikian mengulas tindakan yang akan dilaksanakan Jabatan Imigresen membekukan aset majikan selaras dengan peruntukan Akta Imigresen 1959/63 mengikut Seksyen 56(1), yang sudah lama wujud tetapi tidak dilaksanakan sebelum ini.

Pelaksanaan undang-undang itu dibuat setelah perkara tersebut dirujuk kepada penasihat undang-undang bagi membolehkan pelaksanaan akta sedia ada dimanfaatkan sepenuhnya.

Jabatan Imigresen dilaporkan akan memberi tempoh sehingga hujung bulan ini kepada mana-mana majikan terbabit untuk mematuhi undang-undang sebelum tindakan pembekuan aset dilaksanakan berkuat kuasa bulan depan.

Menurut Shamsuddin, beliau telah meneliti akta tersebut dan mendapati tiada sebarang peruntukan yang membenarkan pihak berkuasa membekukan aset majikan yang melindungi atau menggaji Pati.

"Bagi kesalahan melindungi seorang hingga lima Pati secara sengaja, majikan terbabit akan dikenakan denda tidak kurang RM10,000 tapi tidak lebih RM50,000 bagi setiap Pati atau penjara tidak kurang enam bulan tapi tidak lebih lima tahun.

"Bagi majikan yang melindungi lebih daripada lima Pati secara sengaja boleh didenda minimum RM10,000 tapi tidak lebih RM50,000 bagi setiap Pati atau penjara tidak kurang enam bulan tapi tidak lebih lima tahun atau rotan tidak lebih enam sebatan," katanya.

Tambah Shamsuddin, bagi kesalahan bersubahat dengan Pati pula, majikan yang didapati bersalah akan didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Saya tidak pasti dari mana peruntukan itu diambil bagi melaksanakan pembekuan aset. Saya rasa tiada kuasa pembekuan aset di bawah seksyen 56 (1)," katanya.

Pendapat yang sama turut dikongsi Presiden Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Tan Sri Yong Poh Kon yang mencadangkan agar kerajaan memperhalusi cadangan itu untuk mengelak sebarang implikasi jangka panjang terhadap industri dan pekerja lain.

"Walaupun boleh difahami bahawa masalah pekerja haram perlu ditangani, ia hanya adil jika industri tidak terlalu disekat dalam mendapatkan sumber pekerja yang sah untuk memenuhi keperluannya," kata beliau.

Yong berkata kerajaan perlu mengkaji semula program untuk menghalalkan pekerja tanpa izin jika kerajaan serius untuk mengurangkan pekerja haram di negara ini.

"Peraturan dan prosedur bagi pengambilan dan lanjutan permit kerja hendaklah dikurangkan dan dipermudahkan. Program untuk menghalalkan pekerja tanpa izin belum lagi berjaya kerana prosedur yang ketat dan mahal," tambah beliau.

Sementara itu, Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid menyokong tindakan yang bakal dilaksanakan Jabatan Imigresen dengan menyifatkan ia sebagai suatu tindakan tepat dan setimpal.

Beliau berpendapat bahawa tindakan tegas itu dapat membantu Jabatan Imigresen mengawal selia Pati di negara ini dengan lebih efisien.

"Tindakan ini tepat kerana ia dapat melindungi pekerja tempatan selain memberi peluang kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang selama ini 'dibolot' Patitermasuk yang masuk ke negara ini secara sah," katanya.

Menurut Abdullah Sani, tindakan berlandaskan undang-undang itu adalah dialu-alukan bagi menambah baik dan mempratik peruntukan akta sedia ada.

"Kami (MTUC) yakin melalui tindakan tegas ini dapat membuka mata majikan terbabit agar mengambil pekerja secara sah ataupun mengambil pekerja tempatan bagi membolehkan mereka menikmati faedah yang diwartakan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: PATI

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan