Wolbachia Mampu Cegah Penularan Virus Denggi

Diterbitkan: Rabu, 14 September 2016 7:42 PM

Projek mikroorganisme Wolbachia.Foto: P.NATHAN/ The Star

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR:  Suntikan mikroorganisme Wolbachia ke dalam telur nyamuk aedes aegypti didapati mampu menghalang penularan virus denggi dalam kalangan manusia. 

Ini kerana nyamuk aedes yang terhasil daripada telur yang disuntik itu tidak mempunyai virus denggi dan seterusnya menghalangnya daripada menyebarkan virus itu apabila menggigit manusia. 

Bercakap kepada Bernama, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata di negara ini penggunaan Wolbachia telah mula diperkenalkan sejak Januari lalu di bawah Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dengan kerjasama Lancaster University, United Kingdom. 

Katanya, IMR telah menerima telur nyamuk aedes yang mengandungi bakteria Wolbachia dan proses menyediakan tempat memeram dan membiak sedang dijalankan.  

"IMR menggunakan kaedah penggantian iaitu nyamuk aedes aegypti jantan dan betina yang mengandungi Wolbchia akan dilepaskan ke kawasan lapangan.

"Setelah membiak dalam jangka masa yang tertentu, kebanyakan nyamuk aedes aegypti di dalam kawasan itu akan mengandungi Wolbachia dan tidak mempunyai virus denggi," katanya. 

Dr Noor Hisham berkata IMR kini sedang menjalankan pemantauan populasi nyamuk aedes aegypti sedia ada di lapangan. 

Ini penting untuk membuat perancangan kadar pelepasan bilangan atau jumlah nyamuk aedes jantan dan betina yang mengandungi Wolbachia yang akan dilepaskan ke kawasan yang dikenalpasti mempunyai kes denggi yang tinggi. 

Penggunaan Wolbachia dalam nyamuk aedes di kawasan berkenaan akan dibuat secara rintis dan dikaji semula selepas tiga tahun. 

Nyamuk yang mempunyai Wolbachia akan dilepaskan menjelang Januari tahundepan dan akan dinilai selepas tiga tahun. 

Terdapat satu lagi kaedah pengurangan populasi nyamuk iaitu hanya aedes aegypti jantan yang mengandungi Wolbachia sahaja yang dilepaskan dalam jumlah yang besar. 

Nyamuk jantan ini akan mengawan dengan nyamuk betina di lapangan, namun telur itu tidak akan menetas seterusnya akan mengurangkan populasi nyamuk.

Wolbachia adalah sejenis mikroorganisme yang hidup secara semulajadi dalam organ-organ pembiakan serangga. Ia wujud dalam kira-kira 60 peratus serangga kecuali nyamuk aedes aegypti. 

Oleh kerana Wolbachia tidak terdapat dalam nyamuk aedes aegypti seperti kebanyakan serangga lain, suntikan perlu dilakukan di dalam makmal sebelum ia dilepaskan ke lapangan. 

Dr Noor Hisham berkata, kaedah penggunaan Wolbachia itu telah digunakan di beberapa buah negara antaranya Australia dan China. 

Di Australia kajian oleh Commonwealth Scientific and Industrial Research Organisation (CSIRO) pada tahun 2011 mendapati kawasan lepasan nyamuk aedes yang mengandungi Wolbachia tiada pencemaran alam sekitar, haiwan dan serangga yang mungkin dijangkiti nyamuk aedes juga tidak menunjukkan sebarang perubahan atau penyakit. 

Di China pula, didapati tiada penetasan telur daripada pengawan aedes yang mengandungi Wolbachia dengan aedes di lapangan. 

"Indonesia, Thailand dan Vietnam juga sedang menjalankan kajian penggunaan Wolbachia ini, sementara Singapura dan Amerika Syarikat juga bercadang untuk memulakan kaedah ini dalam mengatasi penularan penyakit zika. 

"Hasil kajian di makmal menunjukkan kaedah ini sesuai untuk merencat pembiakan virus zika dan Chikungunya dalam nyamuk aedes," tambah beliau. -Bernama

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan