Anita Yusof Rentasi Jarak 65,000 Kilometer Demi Islam

Diterbitkan: Rabu, 14 September 2016 3:40 PM

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Selepas hampir 370 hari menaiki motosikal secara solo merentasi 40 negara, empat benua dan 65,000km laluan berliku, Anita Yusof kini semakin hampir untuk menamatkan pengembaraannya.

Walaupun motivasi utama pensyarah di Institut Pengajian Guru di Ipoh, Perak adalah untuk menyumbang kepada negara, tetapi pada masa sama beliau ingin menyampaikan mesej tersirat tentang isu penting yang membelenggu agama Islam ketika ini.

"Sekarang ini terlalu ramai yang Islamophobia, yang menganggap Islam ini adalah keganasan, diskriminasi terhadap wanita dan menganggap Islam tidak membenarkan anak perempuan belajar dan bekerja, banyak yang negatif.

"Jikalau mereka kata agama Islam itu rigid, mengongkong wanita sehingga tidak membenarkan mereka belajar, saya katakan kepada mereka, "Bagaimana saya boleh mengelilingi dunia menunggang motosikal secara solo," katanya kepada Bernama di sini.

Anita berada di Bangkok dalam pusingan terakhir pengembaraan solonya, dijangka tiba di sempadan negara di Bukit Kayu Hitam tepat pada 11 pagi Jumaat ini sempena sambutan Hari Malaysia.

Beliau berharap pengembaraan dan pencapaiannya itu sedikit sebanyak dapat memainkan peranan dalam mengikis pandangan serong orang ramai terhadap agama dan wanita Islam. 

"Ia adalah sumbangan kecil saya dan saya berharap dapat membetulkan persepsi salah itu," katanya.

Anita yang mengambil cuti tanpa gaji selama setahun dan mengeluarkan lebih RM100,000 daripada poket sendiri untuk pengembaraannya, bakal diiktiraf sebagai wanita Islam Malaysia pertama bermotosikal mengelilingi dunia secara solo.

Pencapaiannya itu juga berkemungkinan menjadikan beliau sebagai warga Malaysia dan wanita Asia pertama berjaya mengelilingi dunia dengan menaiki motosikal secara solo.

"Saya amat bangga kerana wanita Islam pertama yang berjaya mengelilingi dunia secara solo menaiki motosikal, itu datangnya dari sebuah negara kecil dipanggil Malaysia," katanya.

Anita berharap pencapaiannya itu dapat menjadi inspirasi kepada mereka supaya berani dan berusaha keras dalam menggapai segala yang diimpikan.

"Saya harap dapat menjadi inspirasi kepada semua yang terlalu takut atau sentiasa diselubungi dengan pelbagai pantang larang. Masyarakat kita ini terlalu banyak rasa takut dan kerisauan," katanya.

Menurutnya, jika beliau yang hanya memiliki pengalaman menaiki motosikal selama 3 tahun lima bulan boleh melaksanakan pengembaraan itu, ia merupakan bukti bahawa semua orang juga boleh melakukannya.

Anita yang kehilangan 10kg sepanjang pengembaraannya kerana 'mengikat perut' untuk menjimatkan kos pengembaraannya juga bertekad tidak mahu memberikan kemenangan kepada 'tukang sorak' yang sentiasa mengharapkan kegagalannya.

"Saya bertekad tidak mahu memberikan tukang sorak itu apa yang mereka mahukan iaitu kegagalan Anita," katanya dan menambah, cuaca dan laluan dipenuhi binatang buas merupakan antara cabaran yang paling mencemaskan.

Katanya, menaiki motosikal di Route 40 berhadapan pertembungan angin dari Lautan Atlantik dan Pasifik menuju ke Ushuaia, Argentina serta laluan beruang dan harimau di Alaska serta Vladivostok, Rusia sebagai cabaran paling mencemaskan. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Anita Yusof , Solo

iklan

Video

Selasa, 21 November 2017 5:42 PM

Apa Terjadi Dengan Wartawan mStar?

Selasa, 21 November 2017 2:13 PM

Selepas Setahun Amira Othman 'Tidur'

Selasa, 21 November 2017 9:00 AM

Kenali Siapa Penyanyi Lagu 'Bismillah'

Isnin, 20 November 2017 7:37 PM

Pakatan Dalam Misteri - Tun M

Isnin, 20 November 2017 2:30 PM

Karier Tak Rosak - Fezrul khan

Isnin, 20 November 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nabila Razali Simpan Foto Aedy Ashraf?

Ahad, 19 November 2017 9:00 AM

#akuStar: Cikgu Meera - Oh Sayangku

Jumaat, 17 November 2017 4:25 PM

Tokan Kantoi Bungkus Dadah Dalam Plastik Teh

Jumaat, 17 November 2017 2:00 PM

Pesawat Dedah Punca Menyepi

Kolumnis

iklan

Iklan