Gerakan Kenal Pasti 90 Peratus Bakal Calon PRU-14

Diterbitkan: Rabu, 14 September 2016 9:19 AM

Mah Siew Keong.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Parti Gerakan telah mengenal pasti hampir kesemua calonnya untuk bertanding di 45 kerusi kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong berkata hanya tinggal 10 peratus lagi calon yang akan ditentukan bulan depan.

"Kita telah buat persediaan walaupun kita tidak tahu bila pilihan raya umum akan diadakan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Hari Malaysia dan perayaan Kuih Bulan di sini, Rabu malam.

Beliau berkata, Gerakan juga akan membuat beberapa pertukaran kerusi dengan parti komponen Barisan Nasional(BN) lain termasuk satu kerusi di Pahang yang akan ditukar dengan MCA.

Beberapa calon baru akan turut diturunkan dan mereka telah pun diluluskan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, katanya.

"Kita akan bekerja kuat di tempat yang kita kalah sebelum ini tetapi saya yakin rakyat akan beri peluang kepada calon kita supaya menang nanti," katanya.

Gerakan hanya menang satu kerusi Parlimen iaitu Simpang Renggam dan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri iaitu Elopura, Pemanis dan Tanjong Papat pada PRU lalu.

Sementara pada Pilihan Raya Kecil bagi kawasan Parlimen Teluk Intan pada 2014, Mah merampas kembali kerusi tersebut daripada DAP.

Sementara itu, beliau yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi turut berkata, Unit Pembangunan Penjaja, Peniaga Kecil dan Wakaf Hindu Pulau Pinang yang di bawah kementerian itu telah melancarkan aplikasi 'MyHawker' iaitu aplikasi untuk memudahkan orang ramai mengenal pasti lokasi tempat makan yang sedap dan menarik di negara ini.

Aplikasi itu boleh dimuat naik melalui 'Play Store' di telefon pintar Android yang dilancarkan Julai lepas dan kini kira-kira 3,000 pengguna telah menggunakan aplikasi itu, katanya. - Bernama

Tags / Kata Kunci: Mah Siew Keong , Gerakan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan