Kementerian Pertahanan Rancang Tukar Peralatan, Kelengkapan Pasukan

Diterbitkan: Isnin, 12 September 2016 9:53 AM

Johari bergambar bersama dengan kanak-kanak tadika ketika merasmikan Taman permainan Ma'rakah Elementary School yang diilhamkan pasukan Pengaman Malaysia (Malbatt) di Beirut.


(Ubah saiz teks)

BEIRUT: Bersesuaian dengan kehendak semasa dan persediaan menghadapi keadaan yang tidak dijangka, Kementerian Pertahanan dalam perancangan untuk menukar peralatan dan kelengkapan kumpulan pengaman Malaysia (Malbatt) secara berperingkat.

Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum berkata aspek kebajikan anggota dan pegawai pengaman yang bertugas di negara asing ini dipandang serius pihaknya yang prihatin, demi keselesaan sewaktu menjalankan tanggungjawab dan tugas yang telah diberi.

"Pakaian dan kelengkapan anggota seperti but, katil penginapan, kalis peluru, helmet, senjata, baju sejuk dan sebagainya telah lama dipakai anggota dan pegawai pengaman sejak Malbatt 1 lagi, kira-kira sembilan tahun lepas.

"Kami cuba untuk bekalkan aset setanding dengan negara lain. Mereka ini pasukan petugas khas, pakaian mestilah setaraf dengan negara lain. Ini perkara asas yang perlu diambil perhatian demi keselesaan sewaktu bertugas.

"Jadi, peralatan dan kelengkapan ini akan dibawa balik ke Kuala Lumpur untuk diuji ketahanan sama ada boleh dipakai lagi atau sama ada perlu untuk dicari yang baharu yang lebih lasak dan lebih ketahanan sesuai dengan kawasan penugasan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Bernama dan RTM sewaktu melawat kem Malbatt Tibneen di sini lewat petang Ahad yang menempatkan kira-kira 200 anggota dan pegawai untuk penugasan misi keamanan di sekitar daerah Tibneen.

Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pertahanan, Datuk Mohammad Foad Abdullah dan Komander Malbatt 850-3 Kolonel Reizal Arif Ismail.

Mohd Johari berkata beliau sendiri akan memantau aspek kebajikan ini mulai tahun depan bagi memastikan apa yang dibekalkan betul-betul berkualiti dan mengikut standard yang ditetapkan.

Jelasnya, walaupun keadaan dan persekitaran di kawasan penugasan termasuk di kem Malbatt Ma'rakah nampak aman, namun aspek keselamatan perlu diberi perhatian serius kerana apa sahaja boleh berlaku dalam sekelip mata.

Berhubung kelengkapan terbaru Malbatt; dua buah sauna yang bakal digunakan untuk menghadapi musim sejuk nanti, Mohd Johari berharap ia dapat dimanfaatkan secara bersama-sama sekali gus memudahkan menjayakan misi ditetapkan Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa Bersatu di Lubnan (Unifil).

Mohd Johari berada di Beirut sejak Rabu lepas bersama-sama 215 anggota dan pegawai kumpulan pertama Malbatt 850-4 yang diketuai Kolonel Nazim Mohd Alim untuk melihat sendiri kesiapsiagaan dan operasi dikendalikan pengaman negara.

Malbatt 850-4 diketuai komandernya, Kolonel Nazim Mohd Alim dengan keseluruhan 850 pegawai dan anggota termasuk dua pegawai dan 28 anggota dari Anggota Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), telah secara rasminya mengambil alih penugasan dari MALBATT 850-3 di bumi Lubnan.

MALBATT 850-3 diketuai komandernya, Kolonel Reizal Arif Ismail melibatkan 820 pegawai dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), 29 Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) dan seorang kakitangan awam telah diaturgerakkan bagi penugasan mengekalkan keamanan dan kestabilan kawasan tanggungjawab sejak 14 Sept tahun lepas.

Kerajaan Malaysia telah meluluskan penglibatan ATM dalam misi Unifil sejak 2007 bagi membantu pasukan pengaman dari lain-lain negara anggota PBB menguatkuasakan Resolusi 1701 Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu.

Tags / Kata Kunci: Beirut , Malbatt

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan