TPM Sangkal Dakwaan Negara Dalam Ketidaktentuan

Diterbitkan: Ahad, 11 September 2016 8:35 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyangkal dakwaan bahawa negara kini berada dalam keadaan ketidaktentuan terhadap pelbagai perkara termasuk dalam bidang ekonomi dan politik.

"Ramai yang kata seolah-olah negara kita tidak stabil dalam bidang ekonomi,tidak stabil politik, kononnya masyarakat kita berpecah belah, kononnya berlaku perbezaan pendapat kerana kita berlainan agama dan budaya.

"Masyarakat Malaysia dianggap sedang menghadapi kehancuran? Dakwaan itu silap," kata Timbalan Perdana Menteri semasa berucap merasmikan Perhimpunan Agung Tahunan Kelapan Parti Makkal Sakti Malaysia, Ahad.

Turut hadir, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia Datuk R.S Thanenthiran. 

Menarik perhatian mengenai kedudukan ekonomi negara yang berkembang 4.1 peratus pada separuh pertama tahun ini, Ahmad Zahid berkata pertumbuhan itu sekali gus menunjukkan ekonomi negara pada tahap lebih mantap berbanding negara jiran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menegaskan meskipun terdapat kekangan dan permasalahan ekoran kejatuhan harga minyak dan gas, tetapi ia bukan sahaja dialami Malaysia, malahan negara lain di dunia.

Katanya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah berusaha sebaik mungkin untuk kemajuan dan kemakmuran negara ini.

Mengenai dakwaan keadaan ekonomi negara lebih baik pada zaman pentadbiranTun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid menyifatkan bekas perdana menteri itu bernasib baik kerana ketika itu harga minyak dan komoditi sememangnya meningkat.

"Kini keadaan berbeza. Ini bukan salah kepimpinan kerana ia bergantung kepada pasaran dunia," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya turut menyeru keseluruhan anggota Parti Makkal Sakti, supaya bekerjasama dengan parti-parti bersekutu kaum India yang lain dalam komponen BN untuk terus memperjuangkan masyarakat India.

Menegaskan hanya BN yang mampu membela nasib masyarakat India, Ahmad Zahid berkata ini boleh dilihat di bawah pentadbiran Najib di mana kaum India telah diberi perhatian khusus di bawah Pelan Pembangunan Kaum India termasuk menerusi Sekretariat Khas untuk Memperkasakan Usahawan India (SEED).   

"Setakat ini, kerajaan melalui SEED berjaya membantu 27,909 usahawan India dengan jumlah RM1.1 bilion dalam tempoh singkat sejak penubuhannya pada 2012,"katanya.   

Dalam pada itu, beliau turut meminta Makkal Sakti agar berusaha mendaftarkan 7,000 pengundi baharu dalam kalangan belia India sebagai pemilih pada pilihanraya umum akan datang.   

Ahmad Zahid juga mahu melihat parti berkenaan bekerjasama dengan parti komponen BN lain untuk memastikan 90 peratus pengundi India menyokong BN pada pilihan raya berkenaan.

Sementara itu, pada sidang media selepas majlis berkenaan, Ahmad Zahid yang mengulas tindakan dua pemimpin Umno Johor yang bertindak keluar parti untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PBBM), secara sinis 'mengalu-alukan' tindakan berkenaan. 

"Kita 'alu-alukan' Baharom (Pengerusi Tetap Umno Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani) dan Jarvanti (Timbalan Ketua Umno Bahagian Kulai, Datuk Tosrin Jarvanti) yang terkenal bersama-sama pihak PBBM, dan saya fikir elok mereka berada di sana daripada jadi duri dalam daging Umno" katanya.   

Kedua-dua mereka mengumumkan peletakan jawatan masing-masing daripada parti semasa mesyuarat perwakilan bahagian itu, pada Sabtu. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Tpm , Ahmad Zahid Hamidi

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan