KPKT Cadang Bina Tambah, Perluas Rumah PPR

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 5:31 PM

(Ubah saiz teks)

GUA MUSANG: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mencadangkan kepada kerajaan agar menambah kemudahan lif dan memperluaskan unit kediaman rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Menteri berkenaan Tan Sri Noh Omar berkata bagi tujuan itu, satu  kajian akan dibuat sebelum perkara itu dikemukakan kepada Kabinet.

"Kita sarankan kerajaan memberi kemudahan lif kepada rumah PPR yang dibina melebihi tiga tingkat manakala keluasan rumah dipertingkat daripada 65 meter persegi kepada 74.3 meter persegi," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan kunci Rumah Kekal Banjir (RKB) kepada mangsa banjir di PPR Gua Musang di sini pada Jumaat.

Turut hadir Anggota Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Galas Ab Aziz Yusof dan Ketua Setiausaha KPKT Datuk Mohammad Mentek.

Pada majlis itu, 31 mangsa banjir yang kehilangan rumah mereka ketika bencana banjir 2014 menerima kunci rumah masing-masing di PPR Gua Musang.

Noh berkata 1,000 unit kediaman PPR Gua Musang akan dijual kepada penduduk terutama yang tinggal di kawasan setinggan di Bandar Lama Gua Musang dengan pendapatan isi rumah kurang RM3,000 sebulan menerusi kaedah sewa beli.

"PPR Gua Musang merupakan yang pertama di negara ini melaksanakan kaedah jual beli kerana sebelum ini timbul masalah dengan pihak bank yang mahukan penyata gaji mereka.

"Kita belum tetapkan jumlah dan tempoh bayaran yang harus dikenakan kepada pembeli setakat ini kerana kita mahu selaraskannya dengan PPR di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya.

PPR Gua Musang mula dibina pada 2012 dan siap pada Jun 2014 di atas tanah seluas 34.5 hektar, dengan setiap unit berkeluasan 69 meter persegi, mempunyai tiga bilik tidur, dua bilik air dan dijual dengan harga RM35,000.

Mengulas mengenai pihak bank yang tidak bersetuju dengan cadangan kementerian yang mahu kerajaan mempertimbang pemaju perumahan diberi lesen pinjaman wang bagi membantu pembeli mendapatkan rumah masing-masing, Noh berkata pihak bank perlu mengkaji prosedur mereka bagi memudahkan pembeli melakukan pinjaman untuk membeli kediaman.

"Ini kuasa kementerian untuk beri lesen meminjam wang kepada mana-mana pihak yang layak. Kalau bank tak setuju, mereka perlu kaji (prosedur mereka). Kita nak tolong orang susah," katanya.

Pada Khamis, Noh dipetik sebagai berkata kementerian itu mencadangkan agar pemaju perumahan diberi lesen pinjaman wang untuk membantu pembeli rumah yang menghadapi kesukaran mendapatkan pinjaman bank. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Noh Omar , PPR , KPKT

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan