APMM Lakukan Penerbangan Ihsan Bawa Bayi Jalani Pembedahan

Diterbitkan: Jumaat, 9 September 2016 3:29 PM

(Ubah saiz teks)

SERDANG: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melakukan penerbangan ihsan membawa bayi perempuan berusia sebulan, Nur Shaurah Shahril Nizam, yang mengalami komplikasi jantung ke Hospital Serdang di sini pada Jumaat untuk menjalani pembedahan segera.

Bayi berkenaan, yang diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan, diiringi ibunya, Dr Hazura Hamzah serta seorang pegawai perubatan dari Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Dr Nik Shahrina Nik Ahmad Ariff dan dua orang jururawat.

Penerbangan tersebut berlepas dari Kota Bharu pada 9.45 pagi dan tiba di Hospital Serdang pada 11.40 pagi.

Menurut kenyataan Maritim Malaysia, tiga tangki oksigen bersama dua beg peralatan kecemasan turut dibawa bersama bagi memastikan bayi berkenaan berada dalam keadaan selamat dan terkawal sepanjang penerbangan.

"Pesakit memerlukan bantuan pernafasan 'ventilated' beserta rawatan rapi doktor dan jururawat sepanjang penerbangan," menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut penerbangan ihsan menggunakan helikopter Agusta Westland AW139 itu diterbangkan oleh Leftenan Komander Maritim Mohd Ikmal Ridzuan dan dibantu oleh Leftenan Komander Maritim Mohamad Zali Yusoff serta Bintara Muda Maritim Sudin Appe.

Tags / Kata Kunci: APMM

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan