Lebih 300 Pasport Diperbaharui Dalam Talian Sejak 1 September

Diterbitkan: Selasa, 6 September 2016 7:30 AM

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali (berdiri) menunjukkan cara bagaimana untuk membuat permohonan pembaharuan pasport secara dalam talian menerusi sistem MyOnline Pasport.

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Lebih 300 pasport diperbaharui menerusi sistem secara dalam talian, MyOnline Pasport selepas lima hari pelaksanaannya sejak 1 September lalu.

Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport Jabatan Imigresen, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad berkata, sistem berkenaan masih lagi dalam peringkat percubaan bagi memastikan kelancaran sepanjang proses permohonan.

Mengenai jumlah pasport yang diperbaharui setakat ini adalah kecil, katanya, ia disebabkan sistem pembaharuan pasport itu masih dianggap baharu di kalangan orang ramai.

“Ramai yang masih tidak menyedari tentang kemudahan ini, tetapi bilangan permohonannya dijangka meningkat kerana memperbaharui pasport secara online adalah lebih selesa, mudah dan menjimatkan masa,” katanya kepada mStar Online.

Mohd Zulfikar berkata, antara perubahan yang dapat dilihat menerusi pelaksanaan MyOnline Pasport adalah kesesakan di kaunter semakin berkurangan.

“Saya percaya kesesakan di kaunter dapat dikurangkan lagi apabila semakin ramai membuat pembaharuan pasport secara online dan selepas kaunter serahan pembaharuan pasport akan diperluaskan ke seluruh negara pada masa akan datang,” katanya.

Mohd Zulfikar Ahmad.

Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan orang ramai yang ingin memohon pembaharuan pasport secara dalam talian supaya membaca terma dan syarat yang dinyatakan.

“Antara syarat dan terma yang dinyatakan ialah pemohon yang telah dikeluarkan dengan pasport bercip sebelum ini boleh memperbaharuinya secara online,” katanya sambil menambah pasport yang tidak bercip perlu memohon pembaharuan di kaunter.

Pada masa ini, terdapat empat negeri dan dua Pusat Transformasi Bandar (UTC) menjadi perintis bagi kaunter serahan pembaharuan pasport secara dalam talian iaitu Putrajaya, Pahang, Sarawak, Pulau Pinang termasuk UTC Pudu Sentral dan UTC Johor.

Mengikut rekod, lebih dua juta pasport dikeluarkan setahun dan bagi tahun ini sahaja dari Januari sehingga 31 Julai, sebanyak 1.466 juta pasport dibuat di kaunter.

Menurut laman web Jabatan Imigresen berhubung MyOnline Pasport di https://eservices.imi.gov.my/myimms/myPassport, pemohon boleh memilih untuk mengambil pasport di pejabat pengeluar passport yang disenaraikan dalam sistem. 

Tarikh dan masa pengambilan passport akan ditentukan oleh sistem berdasarkan hari dan masa permohonan dibuat.

Bagi waktu serahan, permohonan yang dibuat sebelum pukul 3 petang pada hari bekerja akan diserahkan pada hari yang sama dan permohonan selepas pukul 3 petang akan diserahkan pada jam 10 pagi hari bekerja berikutnya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan