Johor Masih Bebas Jangkitan Virus Zika

Diterbitkan: Isnin, 5 September 2016 3:43 PM

(Ubah saiz teks)

MUAR: Kerajaan negeri Johor menafikan bahawa warga emas di Sabah yang dijangkiti virus Zika dan meninggal dunia akibat komplikasi masalah jantung Sabtu lepas, mendapat jangkitan virus itu di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata belum ada kes jangkitan virus Zika di Johor sehingga 3 September.

"Oleh itu, kerajaan negeri Johor menafikan bahawa jangkitan virus Zika di Sabah dijangkiti oleh mangsa ketika berada di Johor," katanya mengulas mengenai laporan sebuah radio tempatan berhubung dakwaan itu di sini Isnin.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan naik taraf bangunan Triage Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar yang turut dihadiri Pengarah HPSF, Dr Selahudden Abd Aziz dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma HPSF Dr Norhaya Abdullah.

Beliau berkata sehingga 3 September lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah menerima sebanyak 10 kes yang disyaki mempunyai kaitan dengan jangkitan virus Zika.

"Daripada 10 kes tersebut, empat kes didapati negatif dan enam kes lagi masih menunggu keputusan ujian makmal," katanya.

Beliau berkata dua daripada pesakit tersebut bekerja di Singapura, seorang lagi mempunyai hubungan dengan pekerja di Singapura, manakala seorang lagi tidak langsung mempunyai sejarah pernah berkunjung ke Singapura.

Ayub berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor telah membuat kawalan dan pencegahan di semua kawasan kes yang disyaki iaitu dengan melakukan 'Larvaciding' dan 'Adulticiding' bagi membunuh nyamuk dewasa dan larva nyamuk aedes.

Beliau berkata bagi membendung jangkitan Zika di negeri itu, kerajaan negeri mengariskan dua strategi iaitu mencari punca pembiakan nyamuk aedes dan memberi pendidikan kepada masyarakat tentang jangkitan virus Zika.

Beliau berkata antara langkah pencegahan yang akan dan sedang dilakukan oleh kerajaan negeri ialah mengadakan perbincangan dengan syarikat pengangkutan awam yang berulang-alik ke Singapura untuk melakukan penyemburan racun 'Aerosol' bagi mengelak nyamuk yang berada dalam pengangkutan awam masuk ke negara ini.

"Walaupun segelintir pihak mempersoalkan cadangan ini, kita terpaksa mengambil tindakan proaktif bagi mengelak penularan jangkitan Zika ke negara ini dan negeri Johor secara khususnya," katanya.
Tags / Kata Kunci: virus Zika , Datuk Ayub Rahmat

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan