Kes Zika Kedua Di Malaysia

Diterbitkan: Sabtu, 3 September 2016 4:32 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Malaysia disahkan mencatat jangkitan virus Zika yang kedua pada Sabtu.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pesakit merupakan seorang lelaki Dusun berusia 61 tahun dari Taman Public Jaya Likas, Sabah.

Beliau berkata kes itu telah dilaporkan kepada kementerian pada Jumaat dan dipercayai ia merupakan jangkitan Zika tempatan pertama di negara ini.

"Kementerian Kesihatan sedang menyiasat lebih lanjut sejarah perjalanan pesakit baru-baru ini. 

"Ia mendapati bahawa virus Zika ini kemungkinan besar dari sumber jangkitan tempatan kerana pesakit tidak mempunyai rekod perjalanan ke luar negara dalam masa terdekat ini dan mungkin digigit oleh nyamuk Aedes yang dijangkiti Zika," kata Dr Noor Hisham dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pesakit mengalami demam pada 27 Ogos dan mendapatkan rawatan perubatan untuk kali pertama di Klinik Kesihatan Luyang pada 30 Ogos lalu.

Pada hari berikutnya, lelaki itu mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Queen Elizabeth 2 apabila demamnya semakin teruk, sakit otot dan cirit-birit.

Ujian darah dan air kencing pesakit mendapati positif Zika, namun keadaan kesihatannya semakin serius mungkin berpunca daripada penyakit yang sedia dan tidak disebabkan virus Zika pada awalnya.

Kementerian Kesihatan mengambil tindakan drastik melakukan kawalan vektor di kawasan perumahan dan tempat-tempat yang dilawati pesakit, termasuk penghapusan tempat pembiakan Aedes dan fogging.

Manakala individu yang berhubung rapat dengan pesakit juga akan diperiksa bagi memastikan sekiranya mereka mengalami demam atau gejala-gejala yang berkaitan dengan virus Zika.

Dalam pada itu,  Kementerian Kesihatan Singapura mengesahkan seramai sebelas orang rakyat Malaysia dijangkiti virus Zika.

Sepuluh daripada mereka tinggal dan bekerja di Singapura, manakala seorang lagi bekerja di Singapura tetapi menetap di Johor.

Tags / Kata Kunci: Virus Zika , Malaysia , Sabah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan