Ahli Umno Dan BN Perlu Perkukuh Kebersamaan, Ikhlas Dalam Perjuangan - PM

Diterbitkan: Sabtu, 3 September 2016 1:00 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tengah) bersalam dan beramah mesra dengan perwakilan ketika hadir merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Pekan 2016 di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Sabtu. Turut hadir isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PEKAN: Umno dan Barisan Nasional (BN) digesa supaya terus memperkukuhkan semangat kebersamaan selain ikhlas dalam perjuangan untuk memastikan parti terus kuat dan berjaya mengharungi arus pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata mereka kini tidak lagi boleh bersikap leka atau syok sendiri, kerana dunia politik bersifat dinamik, tidak statik, dan sentiasa mengalami 'jatuh bangun'.

"Kalau kita amalkan semangat kebersamaan, kita boleh jadi satu negara yang lebih kuat dan berjaya. Jika singkap sejarah negara, kita boleh gunakan pengalaman dan beberapa detik peristiwa di mana kebersamaan antara kita telah membuahkan keberhasilan yang agak luar daripada jangkaan.

"Ia termasuk semasa kita menuntut kemerdekaan, dengan semangat kebersamaan antara pemimpin seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Tan Cheng Lock dan Tun V.T Sambanthan, kita telah berjaya mendapat kemerdekaan dengan cara lebih mudah daripada kebanyakan negara lain.

"Malah semasa PRU pertama 1955, hasil semangat kebersamaan, Parti Perikatan ketika itu telah meraih kemenangan cemerlang dengan membolot hampir semua kerusi," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Pekan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini Sabtu.

Majlis turut dihadiri isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Timbalan Ketua Umno Bahagian Pekan Datuk Abu Bakar Harun.

Menurut Najib, anggota parti juga perlu menjadikan PRU ke-10 di Pekan sebagai pengajaran, apabila Umno dan BN ketika itu hampir tersungkur kerana meninggalkan prinsip kebersamaan ditambah dengan faktor luaran ketika itu.

"Barangkali sebahagian besar daripada kita masih segar dalam ingatan mimpi ngeri PRU 1999 apabila kita nyaris rebah, walaupun banyak faktor luaran yang mempengaruhi keputusan, namun tidak kurang pentingnya faktor dalaman yang menyumbang kepada keputusan yang saya sebut sebagai mimpi ngeri itu.

"Hari ini saya nak mengingatkan kepada diri sendiri bahawa ini mesti dijadikan sebagai sempadan supaya ia tidak berulang dan sejak PRU itu kita bangkit kembali dengan semangat baru menjadikan keputusan yang diperoleh selepas itu semakin baik," katanya.

Untuk rekod pada PRU ke-10, Najib yang bertanding di Parlimen Pekan hanya menang tipis dengan memperoleh majoriti 241 undi ketika menentang calon PAS Ramli Mohamed.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan