Sambutan Ambang Hari Kebangsaan Papar Semangat Sehati Sejiwa

Diterbitkan: Rabu, 31 Ogos 2016 7:32 AM

Orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang semasa Amanat Hari Kebangsaan 2016 oleh Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Tema "Sehati Sejiwa" yang dikekalkan pada sambutan Hari Kebangsaan 2016 begitu signifikan apabila rakyat seluruh negara menyambut ambang Merdeka dengan penuh rasa kekitaan, bersyukur dan berbangga.

Seperti biasa, acara utama yang dinanti-nantikan adalah menjelang detik 12 malam menandakan tibanya tarikh keramat 31 Ogos yang merupakan hari kemerdekaan negara.

Sambutan di ibu negara yang tertumpu di Kuala Lumpur City Centre (KLCC) meriah dengan percikan bunga api di persekitaran mercu tanda negara itu yang turut bergema dengan laungan "Merdeka" dan nyanyian lagu Negaraku.

Persembahan nyanyian daripada kumpulan pelbagai bangsa, Colour of Voice antara yang mencuri perhatian kira-kira 5,000 hadirin kerana menampilkan imej 1Malaysia termasuk pertunjukan air pancut berirama.


Orang ramai melihat pertunjukkan bunga api sempena Ambang Hari Kebangsaan kali ke-59 di perkarangan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC). -fotoBERNAMA

Sementara di Stadium Nasional Bukit Jalil, konsert ambang Merdeka #SehatiSejiwa dibanjiri lebih 5,000 pengunjung termasuk Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Ketua Setiausaha kementerian Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Konsert yang bermula sejak 9 malam menampilkan beberapa artis popular tempatan antaranya Ella, Dayang Nurfaizah, Syamin dan Yassin dan disusuli acara kemuncak iaitu pertunjukkan bunga api dan laungan 'Merdeka'.

Sementara itu, pelajar IT Ng Shin Ying, 20, dimahkotakan sebagai Miss Malaysia Tourism 2016/17 di ambang Hari Kebangsaan, dengan menewaskan 15 peserta lain dari sembilan negeri.

Pertandingan ratu cantik Miss Malaysia Tourism Pageant 2016 Perinmgkat Akhir juga menyaksikan pelajar A-Level Thalia Thin, 18, dan Tiong Li San, 17, masing-masing dimahkotakan sebagai Miss Malaysia Tourism Queen of the Year 2016/17 dan Miss Malaysia Tourism Metropolitan 2016/17.

Mereka akan mewakili Malaysia pada Final Miss Tourism International Pageant World tahun ini.


Sekumpulan remaja membawa kereta lembu yang dihias dengan Jalur Gemilang berarak dari Batu Gantung ke Padang Kota, George Town sempena menyambut Hari Kebangsaan. -fotoBERNAMA

Di NEGERI SEMBILAN, sambutan ambang Merdeka dimeriahkan dengan penyertaan kira-kira 60 pelajar sekolah menengah dari daerah Jelebu dalam Program Perdana Bermalam Di Muzium 2016 bertempat di Muzium Adat Jelebu.

Terdahulu, kesemua mereka yang berusia 14 hingga 17 tahun menyertai acara 'Explorace' sebelum ke acara kemuncak mengibarkan Jalur Gemilang, laungan 'Merdeka' dan nyanyian lagu Negaraku pada detik 12 malam.

Di KELANTAN, hampir 20,000 orang berhimpun bagi memeriahkan sambutan  peringkat negeri di Lembah Sireh, Kota Baharu anjuran Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan dan Jabatan Penerangan malam ini.

Program yang diadakan termasuk pertunjukan auto show, 'sound and lights', perarakan konvoi kembara Merdeka Jalur Gemilang, kiraan detik, laungan Merdeka, upacara menaikkan Jalur Gemilang dan diakhiri pertunjukkan bunga api.

Di PERLIS, sambutan dimeriahkan dengan penganjuran Karnival Belia Anak Merdeka yang diadakan di perkarangan Stadium Tuanku Syed Putra.

Program itu yang turut dihadiri Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man dan Exco Belia Sukan dan Kebudayaan Negeri, Abdul Jamil Saad.

Di PAHANG, sambutan ambang kemerdekaan dimulakan dengan majlis kesyukuran dan doa selamat peringkat negeri di Masjid Kolej Universiti Islam Sultan Haji Ahmad Shah.

Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan Anggota Mesyuarat Kerajaan Negeri serta Ketua Polis Pahang Datuk Seri Sharifuddin Ab Ghani antara ribuan hadir pada majlis itu yang turut diadakan dengan majlis bacaan Yassin.

Mufti Pahang Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman mengimamkan solat hajat bagi memohon kesejahteraan dan kemakmuran berterusan untuk Malaysia yang dirasai sejak kemerdekaan.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah bersama lebih 2,000 rakyat menyambut ambang merdeka peringkat negeri Kedah di dataran utama Aman Central di sini.

Majlis turut diserikan dengan tayangan video, deklamasi sajak serta persembahan lagu patriotik dan kibaran Jalur Gemilang oleh para hadirin sebelum ke acara kemuncak iaitu tembakan bunga api dan laungan Merdeka!

Di SARAWAK, sambutan tertumpu di bandar Sri Aman sebagai acara awal yang disusun untuk sambutan peringkat negeri.

Selain lokasi tumpuan iaitu sekitar Waterfront Sri Aman dan Kompleks Sukan Sri Aman yang menjadi venue perarakan Hari Kebangsaan esok, orang ramai yang berhimpun sejak 8 malam tadi dihiburkan dengan persembahan pentas oleh artis Pentarama dari Jabatan Penerangan.

Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud turut menghadiri majlis kesyukuran di Masjid Sri Aman petang tadi sebagai sebahagian daripada aturcara sambutan.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron bersama barisan exco dan kepimpinan kanan kerajaan negeri bersama kira-kira 1,000 hadirin termasuk pelancong asing berkumpul di Jalan Hang Tuah di sini bagi menyambut ambang merdeka.

Idris dalam ucapannya menyeru rakyat di negeri ini supaya bersama kerajaan negeri untuk membangunkan negeri ini dan membawa Melaka ke tahap negeri maju untuk Fasa Kedua.

Di PULAU PINANG, ribuan pengunjung membanjiri Autocity Juru dan kawasan Rehat dan Rawat (R and R) Lingkaran Luar Butterworth (BORR), di Pantai Bersih malam ini bagi menunggu detik 12 tengah malam dan pertunjukan bunga api anjuran Unit Penyelaras Pelaksanaan Pulau Pinang dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan negeri.

Sementara itu di George Town, orang ramai membanjiri Padang Kota Lama bagi menyertai sambutan ambang merdeka, bagaimanapun tiada pertunjukan bunga api diadakan di bahagian pulau.

Di PERAK, ribuan pengunjung menyertai sambutan Ambang Merdeka peringkat Perak di Dataran Bandaraya Ipoh malam ini.

Turut berangkat ialah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim serta Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan exco kerajaan negeri.

Selain persembahan kebudayaan, program itu turut diserikan dengan persembahan angklung, deklamasi puisi dan pertunjukan belon panas.

Tags / Kata Kunci: Hari Kebangsaan , Sehati Sejiwa

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan