SPRM Siasat Urusan Rasuah Untuk Rumah

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2016 7:55 PM

Gambar hiasan.

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan penyiasatan terhadap urusan dikenali sebagai 'rasuah untuk rumah' bagi mendapatkan rumah mampu milik yang didakwa melibatkan bapa seorang Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Pinang.

Pengarah SPRM negeri Datuk Abd Aziz Aban berkata badan pencegah rasuah itu telah merekodkan kenyataan daripada dua orang dipercayai terlibat dalam urusan seperti didakwa.

"Kami telah melancarkan penyiasatan semalam selepas video (mengenai perkara itu) muncul tetapi sehingga sekarang tiada siapa membuat laporan kepada kami.

Oleh itu, kami perlu mengesan mereka yang terlibat," katanya ketika dihubungi.

Abd Aziz turut menafikan SPRM telah menahan bapa Adun itu berhubung urusan rasuah itu.

"Penyiasatan akan mengambil masa dan ia bukan mudah. Kami sedang mengesan mereka yang didakwa menjadi mangsa dan juga saksi-saksi untuk membantu kami dalam kes ini," katanya.

Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong semalam mendedahkan klip video yang memaparkan rakaman perbincangan mengenai pembayaran untuk mendapatkan rumah kerajaan negeri.

Oh berkata isi kandungan perbualan dalam video itu menunjukkan ia dirakamkan  tahun lepas dan bapa Adun berkenaan dilihat bersama-sama seorang orang tengah sedang melayan aduan daripada seseorang yang dipercayai telah membuat pembayaran namun tidak mendapat rumah itu. - BERNAMA 

Tags / Kata Kunci: urusan rasuah , SPRM , rumah awam

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan