Ridhuan Tee Dibidas Susulan Kenyataan Tak Patriotik Terhadap Atlet Olimpik Negara

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2016 7:49 PM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Penceramah bebas, Ridhuan Tee Abdullah kini berdepan kritikan susulan kenyataannya mengenai atlet Malaysia yang memenangi pingat Olimpik sebagai tidak bersifat patriotik dan sekadar menyertai kejohanan itu untuk mendapatkan ganjaran.

Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon berkata, menerusi artikelnya, Ridhuan dilihat cuba merosakkan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.

"Bukan sahaja dia seorang yang tidak patriotik, malah pemikirannya yang sempit dan keperibadian bersifat subjektif juga menimbulkan masalah," katanya.

Menerusi kolumnya yang disiarkan akhbar tempatan pada Isnin, Ridhuan berkata, bidang sukan kini bagaikan perniagaan dan landasan untuk popular, bukan lagi melambangkan patriotisme.

Tulisnya, atlet "ultra-kiasu" bersaing untuk mendapat habuan bukannya kerana semangat patriotik dan lebih menumpukan acara individu berbanding berpasukan.

Ridhuan yang juga pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga menggesa supaya membentuk kepelbagaian di kalangan atlet negara ini.

Mengulas berhubung perkara itu, Kim Soon berkata, sukan menjangkau rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama.

"Lawan pemain Malaysia yang kebetulan dari etnik Cina, bagaimanapun ia tetap menyatukan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama pada perlawanan separuh akhir dan final di Rio.

"Rakyat Malaysia bersorak menyokong atlet negara, segalanya kerana semangat solidariti ketika pemain badminton kita mendapat pingat begitu bernilai," katanya.

Katanya, segala usaha gigih dan tenaga atlet negara bagaikan diketepikan Ridhuan.

"Bukan sahaja mengecilkan usaha atlet yang mencatat kejayaan di Olimpik, malahan dia bagaikan menghina rakyat seluruh negara.

"Adalah salah untuk Ridhuan Tee menyatakan ganjaran yang diterima Datuk Lee Chong Wei apabila kerajaan mengumumkan  tambahan RM200,000 dibawa skim sukan," katanya.

Tags / Kata Kunci: Olimpik , MCA , Ridhuan Tee

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan