Lihat Kepada Detik Kebersatuan Untuk Kekal Merdeka, Jadi Negara Bangsa Unggul - Najib

Diterbitkan: Selasa, 30 Ogos 2016 11:34 PM

Najib Tun Razak.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika negara mencapai kemerdekaan yang ke-59 tahun ini, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu rakyat melihat kepada Detik-Detik Kebersatuan bagi memastikan negara kekal merdeka dan mampu menjadi sebuah negara bangsa unggul.

Perdana menteri berkata Malaysia tidak tiba di titik kemerdekaan enam dekad untuk gagal tetapi berhasrat untuk terus melangkah jauh dan dapat dipermegahkan di persada global, yang menjangkaui tahun 2030.

"Jika ingin melihat Malaysia kekal merdeka, berdaulat, damai dan tersanjung oleh seantero dunia sebagai Bintang Timur yang berkerlipan cahayanya..."Moments of Unity" atau Detik-Detik Kebersatuan, perlu dicambah serta disemarakkan," katanya ketika menyampaikan Amanat Merdeka di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam Selasa.

Ini merupakan kali ketiga Najib menyampaikan Amanat Merdeka secara langsung di hadapan khalayak ramai tanpa rakaman terlebih dahulu. Ia disiarkan secara langsung oleh radio dan televisyen malam Selasa.

Majlis itu dikelolakan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama).

Mengambil contoh sokongan padu rakyat Malaysia kepada atlet-atlet pada Sukan Olimpik Rio baru-baru ini, Najib berkata sewaktu perlawanan akhir perseorangan lelaki acara badminton antara jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dengan pemain China Cheng Long, majoriti penyokong pemain negara terdiri daripada orang Melayu yang bersorak sorai penuh semangat tanda sokongan kepada 'Raja Badminton Malaysia' itu.

"Saya dan isteri turut sama turun padang ke Dataran Putrajaya, untuk menyaksikan saat-saat yang mendebarkan tersebut. Inilah antara satu contoh, Moments of Unity, atau Detik-Detik Kebersatuan berasaskan sukan.

"Bersempena itu, marilah kita beri tepukan tahniah kepada Datuk Lee Chong Wei, yang datang pada malam ini. Beliau, buat kali ketiganya menghadiahkan Malaysia pingat perak pada kejohanan Olimpik 2016. Syabas, syabas Datuk Lee Chong Wei!" katanya.

Dalam ucapannya selama 44 minit itu, Najib berkata di sebalik kisah kejayaan jaguh badminton negara itu, Lee tidak pernah lupa akan budi dan jasa juga bimbingan mentor, merangkap bekas jurulatihnya, yang telah mengasuh dan mendorong kejayaannya iaitu Datuk Misbun Sidek.

"Inilah dia indah dan ajaibnya Malaysia. Semangat kebersatuan dan keeratan, merentasi sempadan kaum, saling bantu membantu, saling harga menghargai.

"Bukan atas nama Orang Melayu, Orang Cina, Orang India, Orang Iban, Kadazan, Murut, Dusun, Orang Asli, penduduk keturunan Siam, ataupun yang lain-lain, namun lebih mulia dan penting dari itu...semua berpadu atas nama Bangsa Malaysia!," katanya.

Dalam ucapannya itu, Najib turut meminta hadirin supaya memberikan tepukan kepada atlet-atlet yang memenangi pingat pada Sukan Olimpik iaitu pemenang pingat perak acara beregu lelaki badminton Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan beregu campuran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dua 'Ratu Terjun Negara' Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong yang turut merangkul perak dan jaguh lumba basikal negara Azizulhasni Awang yang memenangi pingat gangsa dalam acara keirin.

Melalui sukan, terserlah detik kebersatuan rakyat Malaysia.

Perdana menteri turut mengambil beberapa contoh lagi berkenaan Detik Kebersatuan seperti Restoran Nasi Kandar paling terkenal di Ipoh yang popular dengan gelaran 'Vanggey' dengan penjual nasi milik India Muslim beroperasi di restoran milik orang Cina dan pelanggan daripada pelbagai kaum.

Kartunis Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid pula banyak menonjolkan watak pelbagai kaum dalam karyanya, secara langsung menggambarkan detik kebersatuan manakala filem Ola Bola turut membangkitkan semangat kebersatuan rakyat Malaysia melalui semangat pemain negara pelbagai kaum bersatu untuk mengharumkan nama negara di arena bola sepak, katanya.

Beliau berkata banyak lagi faktor yang boleh menjadi pemangkin kepada Detik-Detik Kebersatuan, dan tidak terhenti pada contoh-contoh dalam bidang sukan dan sosio-budaya sahaja.

"Misalan lain, saban tahun pabila menjelangnya hari-hari perayaan besar terutamanya Aidilfitri, jendela silaturahim 1Malaysia yang menyuburkan Detik-Detik Kebersatuan melalui Budaya Rumah Terbuka begitu menyerlah, sehingga menggamit pelancong-pelancong antarabangsa," katanya.

Najib berkata sejak merdeka kemajuan yang dicapai dari semasa ke semasa adalah demi rakyat Malaysia keseluruhannya, dan kerajaan tidak akan meminggirkan mana-mana pihak, sekalipun apa-apa kumpulan etnik yang kecil bilangannya.

"Pucuk pangkalnya...di mata dan di hati kita...setiap seorang dan setiap etnik rumpun dan keturunan, adalah 1Malaysia," katanya mengambil contoh Pandelela yang berketurunan Bidayuh, satu etnik kecil di Sarawak, tetapi mampu menjadi seorang jagoan.

Perdana menteri berkata dalam susah payah memupuk solidariti dan perpaduan, kita tidak mahu terjadinya "Moments of Disunity", yakni Babak-Babak atau Episod Perpecahan, yang akan memusnah dan meranapkan segala yang telah terbina.

"Sanggupkah kita membiarkan tanah air ini hancur berkecai, punah dalam sekelip mata dek angkara segelintir pengkhianat. Para pendurjana dan petualang bangsa serta negara ini, mesti kita tentang habis-habisan," katanya.

Najib berkata ketika ini, Malaysia berdepan bukan setakat musuh luar, sebaliknya penjajahan bentuk baharu, yang meresap dan meracun minda rakyat, sehingga melibatkan 'tangan-tangan kotor' orang dalam negara sendiri.

"Seperti yang cuba diperbuat oleh segelintir pihak yang hendak menjatuhkan kerajaan secara tidak demokratik, membuat referendum, deklarasi atau menghasut dan meracun pemikiran rakyat untuk berdemo di jalanan. Sedangkan, dalam ajaran Islam dan dibahaskan oleh para Ulama Muktabar bahawa, 'matlamat tidak sesekali menghalalkan cara'.

"Pada hemah saya lagi, merdeka itu ertinya, berdiri di atas kaki sendiri, dengan acuan dan kemahuan kita sendiri. Merdeka itu ertinya bebas daripada campur tangan asing. Lebih besar dari itu, merdeka bererti sebuah anjakan dan transformasi daripada kemunduran kepada kemajuan dan keunggulan," katanya. - BERNAMA

Tags / Kata Kunci: Nab Tun Razak , Hari Kebangsaan

iklan

Video

Isnin, 25 September 2017 2:24 PM

Bersama Abby Adalah Momen Indah - Memey

Isnin, 25 September 2017 9:00 AM

#BiziBody: Nadia Brian Bawa 'Beg Doraemon'

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Kolumnis

iklan

Iklan