RM50,000 Dibayar Untuk Haiwan Peliharaan Yang Tak Wujud

Diterbitkan: Sabtu, 27 Ogos 2016 9:15 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Seekor anjing jenis British bulldog yang disenaraikan di sebuah laman web klasifikasi hanya bernilai RM1,500, tetapi seorang lelaki telah membayar RM50,000 untuk haiwan peliharaan itu yang sebenarnya tidak wujud.

Penjualnya telah meminta pembeli tersebut membayar kos logistik anjing itu, dan dia setuju melakukannya.

Kemudian dia diberitahu bahawa anjing itu telah ditahan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar untuk kuarantin.

Sekali lagi penjual itu juga telah memintanya membayar kos makanan, penginapan dan ubat-ubatan.

Percaya bahawa dia akan memiliki haiwan tersebut, dia terus membuat bayaran bermula dengan RM1,000 dan RM5,000 sehinggalah mencecah RM50,000.

Ini adalah salah satu daripada kes penipuan yang berlaku di laman web Mudah.my yang berpangkalan di Kuala Lumpur.

Memandangkan membeli-belah dalam talian semakin popular kerana ia mudah, pihak yang tidak bertanggungjawab kini tampil dengan modus operandi baharu untuk memperdaya pembeli yang tidak curiga membuat pembelian di internet.

Membeli-belah dalam talian juga boleh diakses melalui aplikasi mudah alih telefon pintar, seperti Mudah.my dan Carousell.

Ketua Hal Ehwal Korporat Mudah.my Sdn Bhd Chung Tsung Shen berkata pembeli bulldog itu hanya menyedari dia ditipu apabila pembayaran yang dibuat mencecah jumlah RM50,000.

"Ketika itulah dia menghubungi kami. Apabila kami mula mengesan penjual, dengan bantuan polis, kami dapati wang itu telah dimasukkkan ke dalam akaun tempatan pihak ketiga," kata Tsung Shen.

Tetapi dia bukanlah satu-satunya mangsa kepada penipuan dalam talian ini.

Walaupun dia telah diberi amaran tentang kemungkinan berlakunya penipuan, pembeli lain juga telah membayar untuk anjing yang diiklankan itu.

"Dia menghubungi pejabat kami dan kami memberitahunya ia mungkin satu penipuan tetapi penjual itu bijak memperdaya mangsanya dengan memberi alasan anjing itu tiada makanan dan ubat jika dia tidak membayarnya.

"Pasangannya turut bersimpati terhadap nasib 'anjing' itu jadi dia pun membayarnya," katanya.

Selain anjing peliharaan yang tidak wujud, satu lagi kes berlaku melibatkan wang RM30,000 untuk pembelian sebuah kereta yang sedang berada di Itali.

"Mengapa anda mahu beli sebuah kereta yang fizikalnya tidak berada di negara ini?" tanya Tsung Shen.

Menurut beliau, Mudah.my menerima purata 150 aduan mengenai penipuan setiap bulan daripada 30,000 hingga 40,000 iklan yang disiarkan di laman webnya, tetapi Tsung Shen yakin terdapat lebih banyak kes yang tidak dilaporkan.

Mudah.my, yang memulakan perniagaan pada November 2007, telah menyekat 562,643 iklan sejak pertengahan 2012 apabila ia mula mengesan penipuan dan aduan dalam talian.

"Pada peringkat permulaan, kami tidak mempunyai pasukan khas untuk menyiasat perkara ini tetapi sekarang kami telah wujudkannya.

"Setiap kali ada pelancaran telefon pintar baharu, kami akan sibuk (kerana aduan mengenai penipuan berkaitan telefon pintar)," dedahnya.

Dalam reaksi melalui e-mel, jurucakap Carousell berkata penipuan internet adalah satu cabaran yang dihadapi seluruh industri dan syarikat itu tidak akan bertoleransi terhadap tindakan-tindakan yang tidak jujur.

"Kami menggalakkan pengguna untuk menyimpan perbualan mereka di aplikasi kerana kami mempunyai sistem yang boleh membantu mengesan tingkah laku penipuan.

"Kami mengambil serius maklum balas. Dan apabila aduan diterima, kami akan bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani kes-kes penipuan," katanya.

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan