TLDM Lancar Seragam Baharu Corak Celoreng Digital

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2016 3:47 PM

Anak kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) memperagakan pakaian seragam baharu di hadapan kapal KD Jebat pada majlis pra pelancaran Pakaian Operasi TLDM yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Laut Laksmana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin di Pengkalan TLDM Lumut, Jumaat. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Tentera laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Jumaat melancarkan pakaian seragam operasinya yang bercorak celoreng digital berwarna kelabu bagi meningkatkan imej TLDM setanding dengan negara maju lain.

Panglima TLDM, Laksamana Tan Sri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin berkata pakaian berkenaan juga akan menggantikan tiga pakaian seragam operasi yang telah diguna pakai sejak tahun 1983.

"Baju sedia ada sekarang adalah baju biru berlengan panjang, baju biru berlengan pendek, dan pakaian tindakan kerja (AWD).

"Banyak kekeliruan tentang pakaian biru contohnya banyak pekerjaan lain yang menggunakan uniform daripada warna yang sama dan uniform baharu ini diharap dapat memberi nafas baharu kepada anggota TLDM," katanya selepas menyempurnakan Majlis Pra-Pelancaran Pakaian Operasi TLDM di sini Jumaat.

Beliau berkata baju celoreng berkenaan telah menjimatkan wang kerajaan sebanyak RM1.4 juta pada peringkat permulaan kerana tiga jenis pakaian seragam telah digantikan dengan satu pakaian sahaja iaitu pakaian seragam bercorak celoreng digital.

Menurut Ahmad Kamarulzaman, ia adalah sejajar dengan Program Transformasi '15 to 5' Armada TLDM yang telah menghasilkan penjimatan dengan lebih efisien.

"Kewujudan baju celoreng ini akan menjimatkan kerajaan menerusi transformasi '3 to 1' dalam usaha mencari pendekatan dan imej TLDM baharu yang lebih jimat.

"Ini kerana pada masa ini pegawai dan anggota TLDM dibekalkan tiga jenis pakaian dan akan digantikan dengan hanya satu pakaian yang dapat digunakan dalam banyak situasi kerja," katanya.

Beliau berkata baju celoreng berkenaan mempunyai ciri-ciri keselamatan dan keselesaan bagi memastikan ianya sesuai untuk digunakan ketika operasi atau berada di atas kapal.

Malah, beliau berkata ia juga dapat menjimatkan ruang meletak baju anggota terutama di dalam kapal yang mana ruang menyimpan baju agak sempit dan terhad.

"Ciri-ciri khas baju ini antaranya ia dibuat daripada bahan yang tidak akan melekat kepada kulit sekiranya pemakai terlibat dengan kebakaran.

"Corak digitalnya yang berwarna kelabu yang sama dengan warna kapal juga merupakan salah satu teknik penyamaran anggota ketika berada di atas kapal," katanya.

Ahmad Kamarulzaman berkata setakat ini, lebih 500 anggota telah dibekalkan dengan pakaian seragam berkenaan dan pihaknya akan memastikan kesemua anggota dapat memanfaatkan pakaian berkenaan sepenuhnya semasa Hari TLDM tahun hadapan.

Beliau berkata pihaknya akan mengagihkan pakaian seragam berkenaan mengikut peringkat bagi memastikan tidak berlaku pembaziran terhadap pakaian operasi yang lama.

"Pakaian baharu ini akan dipamerkan secara rasmi dalam perbarisan Hari Kebangsaan yang akan berlangsung di Dataran Merdeka pada 31 Ogos ini," katanya.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan