Gempa Bumi: Tiada Kerosakan Di Taman Kinabalu

Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2016 7:37 PM

(Ubah saiz teks)

KOTA KINABALU: Tiada sebarang kerosakan dilaporkan walaupun gegaran dirasai di kawasan Gunung Kinabalu ekoran kejadian gempa bumi pagi Jumaat, kata Pengarah Taman-Taman Sabah (TTS) Dr Jamili Nais.

Beliau berkata renjer yang dihantar untuk membuat tinjauan di sekitar kawasan Taman Kinabalu, juga mendapati semuanya berada dalam keadaan baik.     

Katanya ketika kejadian, beliau dan beberapa kakitangan TTS sedang mengadakan mesyuarat tapak di kawasan lapang berdekatan tapak projek pembinaan pejabat operasi dan asrama di Panar Laban yang terletak pada ketinggian 3,500meter dari aras laut.

"Ada ahli mesyuarat bertanya 'apa ni, hujankah? Apabila mereka mendengar pergerakan batu-batu di gunung seperti bunyi hujan, saya menjelaskan ada gegaran (gempa bumi)," katanya kepada Bernama.

Melihat situasi berkenaan, Jamili berkata beliau meminta semua pekerja bangunan yang ketika itu sedang bekerja agar segera turun daripada struktur tempat mereka bekerja demi keselamatan.

Katanya ketika gegaran antara dua dan tiga saat itu, berlaku juga sedikit kekecohan dalam kalangan pendaki yang sedang duduk dalam restoran di Panar Laban selepas tiba dari puncak Gunung Kinabalu.

Bagaimanapun mereka dapat ditenangkan sebelum mereka diarah untuk turun dari gunung berkenaan.

"Saya juga dimaklumkan ada lima kumpulan yang baru sahaja memulakan pendakian sejauh kira-kira satu kilometer dari Timpohon (tempat memulakan pendakian), berpatah balik akibat gempa bumi itu," katanya.

Jamili berkata ada juga porter (pekerja mengangkat barang) yang berpatah balik dan meninggalkan barangan yang diangkatnya bersama dengan malim gunung semasa gegaran berlaku kerana tidak berani meneruskan pendakian.

Menurut Jabatan Meteorologi, gempa bumi lemah berukuran 4.0 pada skala Richter melanda Ranau kira-kira 9.39 pagi tadi, dan gempa itu berpusat di 16km barat dari Ranau. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Gempa Bumi , Kinabalu

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan