Sultan Johor Bidas Dr Mahathir - Berita Semasa | mStar

Sultan Johor Bidas Dr Mahathir

Diterbitkan: Khamis, 25 Ogos 2016 9:28 AM

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar.

(Ubah saiz teks)

JOHOR BARU: Sultan Johor dengan tegas menegur Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung konsep Bangsa Johor yang tidak dipersetujui bekas perdana menteri itu.

Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar menyuarakan rasa tidak senangnya terhadap kenyataan yang dibuat Dr Mahathir bahawa konsep berkenaan boleh meruntuhkan perpaduan rakyat.

"Tun Mahathir tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang mencerminkan beliau langsung tidak tahu tentang sejarah negeri Johor.

"Moyang saya, Sultan Sir Ibrahim pada 1920 mengadakan seruan terhadap Bangsa Johor bagi menyatu-padukan pelbagai kaum di Johor di bawah satu bendera untuk perpaduan, keharmonian dan keamanan yang lebih baik. Tiada bangsa atau individu yang dipinggirkan. Almarhum terbukti benar.

"Konsep Bangsa Johor telah dimulakan sebelum Tun Mahathir dilahirkan. Beliau tak tahu apa yang dikatakannya," titah Sultan.

Dr Mahathir ditanya mengenai pandangannya terhadap konsep Bangsa Johor pada sesi Wacana Perdana Ke-20 bertajuk 'Hubungan Persekutuan-Negeri di Malaysia' di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, Rabu.

Bekas perdana menteri itu berkata, perpaduan di kalangan rakyat Malaysia boleh diruntuhkan sekiranya rakyat lebih banyak mengamalkan konsep kenegerian.

Dr Mahathir berkata, rakyat seharusnya dikenali sebagai rakyat Malaysia, daripada bergelar bangsa Johor atau Kedah kerana negara akan makmur sekiranya semua bersatu.

Walaupun Johor boleh mempromosikan idea seperti “Bangsa Johor” yang merupakan hak kebebasan, tetapi Dr Mahathir berkata, tetapi ia tidak seharusnya menjurus kepada pemisahan daripada Malaysia.

"Lagipun, kita semua rakyat Malaysia, tanpa mengira warna kulit, agama, etnik atau kedudukan," kata Dr Mahathir.

Sultan Ibrahim pada Rabu bertitah, Dr Mahathir tidak layak untuk bercakap mengenai perpaduan.

"Beliau memecah-belahkan rakyat termasuk orang Melayu, manakala saya menyatukan rakyat Malaysia dari semua kaum termasuk orang Melayu," titah Sultan.

Sultan Ibrahim menitahkan Dr Mahathir perlu memahami bahawa semua negeri mempunyai kebanggaan mereka tersendiri tetapi tidak bermakna mereka melupakan Persekutuan.

"Ia adalah sebahagian daripada imaginasi Dr Mahathir. Beliau hanya menimbulkan masalah, maka saya menasihatkan beliau supaya tutup mulut."

Sultan Ibrahim bertitah, Dr Mahathir meraih reputasi dengan menjadi pihak yang berkonfrontasi sehingga menyebabkan perpecahan, terutama dalam dasar hubungan luarnya.

"Beliau bertelagah dengan ramai pemimpin dunia termasuk dengan negeri jiran kita Singapura dan ia memberi kesan kepada Malaysia.

"Tun Mahathir merupakan punca kepada masalah di negara ini, pada ketika ini. Beliau tidak mempunyai hak untuk campur tangan dalam negeri saya. Saya tidak akan bertolak ansur dengan sikap beliau," titah Sultan Johor.

   

iklan

Video

Selasa, 19 Jun 2018 1:13 PM

Takdir ibu & anak 'pergi' bersama

Selasa, 19 Jun 2018 8:30 AM

Cabaran anyam ketupat!

Isnin, 18 Jun 2018 8:00 AM

mStar teka lagu Raya - Challenge

Jumaat, 15 Jun 2018 6:00 AM

Raikan Syawal, bukan 'membawang'

Rabu, 13 Jun 2018 3:40 PM

Perihal suka iklankan maksiat di Instagram

Rabu, 13 Jun 2018 8:00 AM

Jangan sibuk main 'game' dalam bulan puasa

Selasa, 12 Jun 2018 4:06 PM

Cabaran RM15 di bazar Ramadan

Selasa, 12 Jun 2018 9:00 AM

Wartawan mStar pening pilih baju raya

Kolumnis

iklan

Iklan