Rakyat, Parti Pemerintah Tentukan Dasar Negara - Najib

Diterbitkan: Ahad, 21 Ogos 2016 8:56 PM

(Ubah saiz teks)

TASEK GELUGOR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata dasar pentadbiran negara bukan ditentukan individu tertentu, sebaliknya oleh parti yang memerintah dan rakyat Malaysia sendiri.

Presiden Umno itu berkata segala serangan untuk menjatuhkan beliau oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah kerana beliau memilih  menjadi perdana menteri yang mengutamakan kehendak rakyat dan parti dalam membuat keputusan.

"Saya cakap terus terang saya tahu Tun Mahathir obses pasal kuasa, saya ada dua pilihan sahaja, sama ada saya jadi perdana menteri yang terpaksa rujuk pada dia, menghadap dia, minta persetujuan dia ataupun saya jadi perdana menteri yang buat keputusan berdasarkan kepada kehendak rakyat dan parti.

"Kalau saya pilih yang kedua, tentu sekali lama kelamaan dia akan serang saya sepertimana dia serang Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) kerana Pak Lah tak dengar cakap dia.

"Jadi sampai bila kita nak hidup dalam keadaan ini...sebab itulah lawan tetap lawan...," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Tasek Gelugor dan pelancaran Bulan Kebangsaan Barisan Nasional Pulau Pinang di sini, Ahad.

Najib berkata beliau tidak keseorangan dalam memperjuangkan maruah dan kedaulatan negara, sebaliknya anggota Umno dan rakyat berada di belakangnya.

Beliau berkata dasar pemerintahan negara pada masa ini berada di landasan  betul, malah turut menerima pengiktirafan negara luar terutama pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dikatakan langkah terbaik oleh 35 pakar ekonomi United Kingdom.

Perdana Menteri, bagaimanapun mengakui bahawa sebagai sebuah negara, memang tidak akan terlepas daripada kelemahan tetapi semua itu boleh diselesaikan melalui rundingan.

"Adalah kelemahan-kelemahan tertentu...tiada negara yang sempurna. Saya mengaku bukan semua kerajaan buat sempurna tapi janganlah (sampai) meruntuhkan (kerajaan) kerana inilah harta pusaka kita, bukan milik sesiapa," katanya.

Najib berkata segala perselisihan pendapat boleh diselesaikan secara rundingan dan semangat kekitaan dalam Umno.

"Soalnya kenapa orang yang pernah jadi perdana menteri 22 tahun, ada orang yang pernah jadi menteri besar buat seketika dan ada orang pernah jadi timbalan perdana menteri sanggup tubuhkan parti baharu nak jatuhkan parti keramat kita.

"Apa sebabnya? Kalau kita ada perselisihan pendapat pun kita mestilah selesaikan dalam keluarga kita," katanya.

Mengenai Pulau Pinang, perdana menteri berkata walaupun Barisan Nasional adalah pembangkang di negeri itu tetapi boleh memainkan peranan sebagai parti yang membela untung nasib rakyat.

Beliau turut mengumumkan peruntukan untuk membina dua masjid di Kampung Banggol, Pokok Sena dan Permatang Bogak di Sungai Dua.

Tags / Kata Kunci: Umno , Najib Tun Razak

iklan

Video

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan