Semarak Ilmu YPM Peroleh Suntikan Dana RM2 Juta

Diterbitkan: Jumaat, 19 Ogos 2016 6:30 PM

Timbalan Ketua Pengarah Mara, Datuk Salmah Hayati Ghazali (tengah) menyaksikan penyerahan replika cek tajaan Maybank Islamic Berhad bernilai RM2 juta dari Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman (kiri) kepada Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pelajaran Mara, Datuk Abdul Karim Mustafa selepas melancarkan Program Semarak Ilmu 2016, Jumaat.

(Ubah saiz teks)

SHAH ALAM: Program Semarak Ilmu yang menumpukan aspek kebajikan pendidikan anak-anak asnaf diteruskan lagi tahun ini apabila memperoleh suntikan dana sebanyak RM2 juta.

Ia menjadi kenyataan hasil kerjasama Yayasan Pelajaran Mara (YPM) dengan Maybank Islamic Berhad ke arah membangunkan masyarakat Islam berilmu.

Ketua Pegawai Eksekutif YPM Datuk Abdul Karim Mustafa berkata, sumbangan RM2 juta Maybank Islamic itu membolehkan pihaknya meneruskan pembiayaan pendidikan asnaf.

"Sumbangan ini bermakna bagi kami dalam meneruskan usaha memartabatkan pendidikan anak-anak bangsa kita ke arah yang lebih cemerlang.

"Pengisian program ini melibatkan kelas tambahan untuk pelajar asnaf, pemberian wang sekolah bulanan dan kelengkapan sekolah", katanya pada majlis pelancaran Program Semarak Ilmu, Jumaat.

Tambahnya, YPM turut memulakan satu skim bantuan khusus untuk membantu pelajar-pelajar miskin yang berminat dalam aliran tahfiz.

Kelas hafazan yang dikendalikan bersama Raufhatul Huffaz dikatakan mampu melahirkan masyarakat Islam yang lebih cemerlang.

Selain itu, seramai 853 anak angkat dari 223 sekolah rendah dan 630 sekolah menengah ditaja oleh pihak Maybank Islamic.

Mengenai program Semarak Ilmu juga, lima pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi telah dibiayai sepenuhnya.

Projek utama di bawah program ini adalah Skim Anak Angkat YPM di mana badan korporat atau individu menaja pendidikan murid-murid sehingga tamat Tingkatan 5.

Bayaran caruman berjumlah RM100 sebulan diberikan bagi pelajar sekolah menengah dan RM80 sebulan bagi pelajar sekolah rendah.




iklan

Kolumnis

iklan

Iklan