Selesai 'Molek-Molek', Saran Bapa Azizulhasni

Diterbitkan: Khamis, 18 Ogos 2016 3:40 PM

Bapa 'Pocket Rocketman', Awang Muda Embong, 67, (kiri) bersama anak bongsunya, Mohd Asieff Ieman, 21, menunjukkan t-shirt yang selalu mereka pakai setiap kali pelumbaan basikal yang membabitkan anaknya, Azizulhasni. -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

DUNGUN: Bapa pelumba berbasikal elit negara Azizulhasni, Awang Muda Embong, menasihatkan anaknya supaya menyelesaikan isu bantuan kerajaan negeri Terengganu terhadapnya secara baik.

"Selesai molek-molek (dengan baik), jumpalah sendiri Menteri Besar Ahmad Razif Abdul Rahman," nasihat beliau kepada anaknya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama mengenai luahan Azizulhasni di laman sosial Facebook yang kecewa tidak mendapat bantuan kerajaan negeri untuk membeli (basikal)RoadBike dan mendakwa tidak mendapat perhatian Ahmad Razif.

Catatan Azizuhasni dalam Facebook itu dibuat beberapa jam selepas memenangi pingat gangsa acara keirin di Sukan Olimpik Rio de Janeiro pada Rabu.

Awang Muda, 67, berkata beliau masih lagi terkejut dengan tindakan anaknya itu setelah dimaklumkan pihak lain.

"Perkara ini tak patut berlaku...macam (seolah-olah) MB tak ambil tahu pulak hal Azizul.

"Saya harap perkara ini dapat diselesaikan cara baik, elok kalau kedua-dua pihak berjumpa dan bersemuka,selesai molek-molek," katanya.

Ketika ditanya adakah selama ini kerajaan negeri ada memberi sebarang bantuan kepada anaknya, Awang Muda berkata: "Saya tak tahu sangat pasal bantuan sebab dia duduk jauh, Australia. Jumpa pun jarang-jarang...berhubung pun melalui telefon."

Azizulhasni dalam catatannya itu menyindir Ahmad Razif yang didakwa tidak melayan permohonan tajaan basikal RoadBike untuk kegunaannya dan rakan, Fatehah Mustapha.

Bagaimanapun selepas dirujuk kepada Ahmad Razif, beliau berkata tidak tahu mengenai perkara yang dibangkitkan Azizulhasni dan mengarahkan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) serta Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan dan Sumber Manusia, Datuk Rozi Mamat menyiasat dakwaan Azizulhasni.

Sementara itu akhbar melaporkan bahawa Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berpendapat mungkin terdapat salah faham dan menegaskan bahawa Azizulhasni telah mendapat sokongan penuh daripada kementeriannya dan Yayasan Sime Darby.

Ketika ditemui pemberita malam tadi, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) Ibni Amin Busu berkata beliau juga tidak menerima sebarang permohonan rasmi daripada Azizulhasni namun akan tetap menjalankan siasatan lanjut.

Katanya bagi menghargai kesungguhan Azizulhasni mewakili negara di temasya Olimpik Rio, kerajaan negeri sebelum ini pernah menyampaikan insentif sebanyak RM5,000 kepada wakilnya (ibu beliau).

Tags / Kata Kunci: Azizulhasni Awang

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan