Serangan Bom Tidak Dibincang Dengan Najib - PM Thailand

Diterbitkan: Rabu, 17 Ogos 2016 8:56 PM

Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha ketika bercakap dengan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak di Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Putrajaya, SElasa. -fotoAP

(Ubah saiz teks)

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Jen Prayut Chan-o-cha pada Rabu berkata beliau dan rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Najib Tun Razak tidak membincangkan tentang serangan bom dan perbuatan khianat minggu lepas, yang meragut empat nyawa dan menyebabkan berpuluh-puluh orang cedera di lima wilayah di negara ini.

Prayut berada di Malaysia pada Selasa kerana menghadiri Persidangan Antarabangsa Strategi Lautan Biru Kebangsaan di Putrajaya, namun media Thailand membuat spekulasi bahawa beliau akan membangkitkan tentang dakwaan bahawa telefon bimbit yang didaftarkan di Malaysia digunakan dalam satu daripada serangan berkenaan, pada pertemuannya dengan Najib.

Prayut berkata persidangan itu menumpukan kepada isu ekonomi dan pembangunan.

"Semua maklumat berkenaan (telefon bimbit yang didakwa digunakan dalam serangan bom itu) telah diserahkan kepada Malaysia melalui pihak berkuasa keselamatan untuk siasatan lanjut," katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan di sini, Rabu.

Pemberita bertanya kepada Prayut sama ada beliau berbincang dengan Najib tentang dakwaan bahawa sebuah telefon bimbit yang didaftarkan di Malaysia digunakan dalam satu daripada serangan bom pada 12 Ogos lepas.

Satu sumber keselamatan memberitahu Bernama bahawa polis Thailand meminta kerjasama rakan sejawatan mereka dari Malaysia supaya menyiasat dakwaan mengenai sebuah telefon bimbit, yang menggunakan nombor siri Malaysia, digunakan dalam satu daripada serangan bom di Phuket.

Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia juga mengesahkan mereka sedang menyiasat dakwaan itu.

Mengenai siasatan yang sedang dijalankan itu, Prayut menasihati orang ramai supaya membiarkan pihak penyiasat menjalankan tugas mereka dan menggesa media supaya menggalakkan pemahaman berhubung siasatan itu.

"Tolonglah, biarkan para pegawai menjalankan tugas mereka dan mencari pihak yang melakukan kesalahan. Mereka mempunyai tugas untuk memelihara kestabilan di negara kita, yang secara langsung memberi kesan terhadap pelaburan dan pelancongan," katanya.

Prayut berkata beliau tidak mahu menolak sebarang perkara yang mungkin menjadi sebab di sebalik rentetan keganasan yang berlaku baru-baru ini termasuk kaitannya dengan pungutan suara mengenai deraf perlembagaan pada 7 Ogos lepas.

"Pihak berkuasa sedang menjalankan tugas mereka dan tidak ada 'kambing' (merujuk kepada kambing hitam) dalam kes ini," katanya.

Di Hua Hin hari ini, Timbalan Ketua Polis Jeneral Srivara Rangsibrahmanakul berkata beliau meminta Ketua Polis Nakhon Si Thammarat supaya menarik balik waran tangkap yang dikeluarkan terhadap seorang lelaki Chiang Mai berusia 32 tahun berhubung tuduhan melakukan perbuatan khianat minggu lepas.

Srivara, yang mengetuai siasatan terhadap serangan bom dan perbuatan khianat itu, berkata waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini akan diganti dengan waran yang dikeluarkan mahkamah tentera berikutan kemunculan maklumat baharu.

Unit Pemusnah Bahan Letupan mengesahkan maklumat yang ditemukan di tempat kejadian menunjukkan adanya satu peranti letupan dan ia bukanlah kejadian kebakaran biasa, katanya kepada pemberita.

iklan

Video

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 10:55 PM

Abam Bocey Malu Manja Dengan Isteri Depan Kamera

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Jumaat, 8 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Awi Rafael - Kau Di Hatiku

Khamis, 7 Disember 2017 8:00 PM

Nadzmi Adhwa Dikurung Selepas Kantoi Dadah

Rabu, 6 Disember 2017 2:00 PM

"Makin Ramai Nak Taja Saya" - Wany Hasrita

Kolumnis

iklan

Iklan