Bekas Guru Besar Jual Ayam Hiasan, Burung Dalam Talian

Diterbitkan: Rabu, 17 Ogos 2016 12:15 PM

(Ubah saiz teks)

LUMUT: Perniagaan dalam talian cukup dikenali sebagai medium untuk menjual barangan seperti kain, alatan elektronik, kosmetik dan produk hiasan, namun berbeza buat bekas guru besar, Beh Lek Kia, 64, yang memilih menjual ayam hiasan serta burung.

Antara yang dijual adalah 15 spesies ayam unik seperti ayam cemani, ayam selasih, ayam bantam, ayam cochin dan ayam mutiara yang diimport dari pelbagai negara termasuk Indonesia, China serta Belanda.

Beh yang menjalankan perniagaan berkenaan bersama dua anaknya Beh Boon Cong, 30, dan Beh Boon You, 26, turut menjual dalam talian pelbagai jenis burung seperti burung merak, burung kuak, burung puyuh Mexico selain itik dan angsa.

"Pada mulanya sekitar tahun 2005, anak-anak saya suka membawa pulang burung, ayam dan itik ke rumah untuk dibela dan saya membina reban untuk menternak haiwan tersebut.

"Semakin hari haiwan tersebut semakin bertambah maka kami mula menjualnya kepada orang terdekat sebelum menjual secara dalam talian," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Rumput di sini baru-baru ini.

Disebabkan spesies ayam yang dijual sukar ditemui di Malaysia, perniagaan Beh yang mulanya sekadar hobi kini meraih pendapatan lumayan sehingga mampu mencecah nilai jualan RM3,000 seminggu.

"Dari segi pasaran, pembeli suka membeli ayam spesies cemani berusia dua bulan yang dijual sekitar RM300 sepasang untuk tujuan perubatan," katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai urus niaga dalam talian, Beh berkata beliau dan anaknya mula berjinak-jinak sejak tahun 2008 di laman sesawang mudah.my sebelum bertukar ke Facebook menggunakan akaun 'Beh Sitiawan' kerana ia lebih mudah diuruskan.

"Anak saya akan memasukkan gambar dan melayan pembeli di Facebook, manakala saya akan menghantar sendiri kepada pembeli sekitar Selangor, Pulau Pinang dan Perak secara percuma.

"Pembeli dari negeri lain perlu membayar kos penghantaran yang mana haiwan tersebut dihantar menggunakan perkhidmatan bas. Semuanya dijamin selamat," katanya.

Bagi memastikan kesemua haiwan yang diternak dalam keadaan sihat dan bebas penyakit, Beh berkata beliau akan memastikan persekitaran reban sentiasa dalam keadaan bersih.

"Kami tidak menggunakan sebarang bahan kimia ke atas haiwan ini malah hanya memberi makanan rutin seperti dedak dan air sahaja," katanya yang memperuntukkan kira-kira RM4,000 sebulan untuk kos makanan haiwan ternakannya.

Selain itu, Beh turut menjual burung merak 'Indian Blue' dan pernah menjual haiwan itu pada harga RM2,500 seekor kerana corak bulunya yang cantik dan sukar ditemui.

"Harganya memang agak mahal tapi sangat berbaloi kerana burung merak terkenal dengan kecantikannya, selain itu penjagaan juga mudah seperti ayam serta tidak memerlukan lesen," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan