PPIM Gesa Kerajaan Beri Jaminan Kelulusan Permohonan Lesen Rayani Air

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2016 5:06 PM

(Dari kiri) Azharudin Mohd, Datuk Nadzim Johan, Mohamad Siddiq Azani dan Azlan Syan Latang pada sidang media mengenai isu Rayani Air di Kuala Lumpur, Selasa.

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa kerajaan supaya memberikan jaminan kelulusan permohonan lesen kepada Rayani Air sekiranya pemiliknya dapat mengemukakan pelabur baharu.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, jaminan itu bertujuan untuk memberi keyakinan kepada pelabur bagi menyuntik dana dan seterusnya mengambil alih syarikat penerbangan tersebut.

"Cadangan ini bukan sahaja untuk menyelamatkan Rayani Air untuk beroperasi semula tetapi turut memberi keuntungan kepada semua pihak termasuk pekerja dan pelanggan.

"Ia merupakan penyelesaian dengan cara baik berhubung masalah tunggakan gaji pekerja dan bayaran balik tiket pelanggan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

Turut hadir wakil peguam kepada PPIM, Mohamad Siddiq Azani.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, Rayani Air perlu mengemukakan permohonan baharu kepada Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) jika ia berhasrat memulakan semula operasinya.

Kata Ab Aziz,  syarikat itu juga perlu mengemukakan strategi perniagaan yang baharu selain mendapatkan rakan kongsi yang mempunyai dana mencukupi untuk menjalankan perniagaan.

Nadzim berkata, dengan pengambilalihan oleh pelabur baharu, keutamaan seharusnya diberikan kepada kakitangan sedia ada untuk diambil bekerja apabila Rayani Air beroperasi semula.

Tambah Nadzim, kerajaan juga perlu campur tangan dalam membantu pemilik Rayani Air, Ravi Alagendrran dalam urusan mendapatkan pelabur.

Bagaimanapun beliau percaya Ravi dapat mengusahakan perkara itu sekiranya mendapat jaminan kelulusan permohonan daripada kerajaan.

Sementara itu, wakil pekerja, Azharudin Mohd dalam sidang media mendakwa tunggakan gaji selama lima bulan sejak Mac lalu termasuk elaun berjumlah kira-kira RM8 juta.

Dakwanya, jumlah itu tidak termasuk caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sejak September tahun lalu.

"Tunggakan berjumlah RM8 juta disebabkan pemilik Rayani Air masih belum mengeluarkan notis pemberhentian kerja kepada kakitangan.

"Sehubungan itu, saya menggesa notis berkenaan dikeluarkan dengan segera. Menurut Jabatan Tenaga Kerja, pekerja perlu diberikan pampasan sebulan gaji selepas notis berkenaan dikeluarkan," kata Azharudin.

Wakil pelanggan, Azlan Syan Latang pula berharap agar bayaran balik tiket pelanggan dapat diselesaikan dengan segera.

Dia yang mewakili 252 pelanggan mendakwa jumlah kerugian adalah RM173,162, dengan tuntutan tertinggi seorang pelanggan mencecah RM12,000.

Jun lalu, DCA membatalkan Sijil Operasi Udara (AOC) bagi Rayani Air selepas melakukan siasatan penuh ke atas pentadbiran dan audit keselamatan operasi syarikat berkenaan.

Mavcom pula turut membatalkan Lesen Perkhidmatan Udara (ASL) Rayani Air selepas mendapati syarikat itu melanggar syarat yang ditetapkan ASL, serta mempunyai kedudukan kewangan yang lemah untuk terus beroperasi.

Tags / Kata Kunci: PPIM , Rayani Air

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan