DBKL Sedia Bantu SPRM Isu Kes Rasuah - Berita Semasa | mStar

DBKL Sedia Bantu SPRM Isu Kes Rasuah

Diterbitkan: Selasa, 16 Ogos 2016 6:36 PM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedia bekerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan seorang pegawai kanannya untuk siasatan membabitkan kes rasuah dan pengubahan wang haram.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz berkata pihaknya tiada masalah dalam memberi kerjasama dengan pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

"Kami sentiasa mengingatkan semua pegawai dan kakitangan DBKL supaya sentiasa kemas kini pengisytiharan harta serta tidak hidup melebihi pendapatan mereka.

"Mana-mana pegawai yang menyeleweng atau melanggar peraturan kewangan atau terbukti menyeleweng akan diambil tindakan tatatertib," katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penahanan seorang kakitangan DBKL bergelar 'Datuk Seri' yang disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 23, Akta SPRM 2009 bagi kesalahan rasuah dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Lelaki itu ditahan di pejabat di bangunan DBKL pada 3.07 petang, semalam dan menjalani tahanan reman selama tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tags / Kata Kunci: DBKL , SPRM , Rasuah

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan