KPDNKK Giat Pantau Koperasi Kredit Oleh Ah Long

Diterbitkan: Sabtu, 13 Ogos 2016 4:41 PM

Hamzah Zainudin

(Ubah saiz teks)

BALIK PULAU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) giat memantau kegiatan koperasi kredit yang didakwa didalangi kegiatan Ah Long dalam memberikan pinjaman kepada peminjam yang ingin menjalankan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata pihaknya mengetahui dan menyedari wujudnya kegiatan sedemikian di sebalik koperasi kredit tersebut.

"Saya tahu di belakang koperasi ini, banyak macam Ah Long dan kita akan dakwa mereka sekiranya kita dapati mereka menggunakan sindiket-sindiket Ah Long dalam Koperasi Kredit," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Koperasi Kebangsaan 2016 Peringkat Pulau Pinang pada Sabtu.

Hamzah berkata pada masa ini sebanyak 12 koperasi di seluruh negara telah diarahkan tutup manakala 11 lagi koperasi sedang dalam siasatan.

"Ini menunjukkan kami serius terhadap koperasi yang menyalah gunakan segala apa yang kita berikan seperti lesen dan sebagainya.

Selain itu terdapat lebih 40 koperasi sedang dipanggil untuk proses penyerahan dokumentasi," katanya.

Beliau berkata sekiranya koperasi yang sedang disiasat didapati bersalah ketika menjalankan urusan antaranya menipu peminjam, koperasi tersebut akan diarahkan tutup serta-merta.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata akta koperasi yang bakal digubal akan dibentangkan di Parlimen tahun hadapan. 

"Melalui penggubalan akta ini ada perkara-perkara yang kita perhalusi antaranya memberikan ilmu untuk menguruskan koperasi.

Melalui akta sedia adasemua koperasi berada pada tahap yang sama dan ia menyukarkan koperasi besaruntuk memperluaskan perniagannya. 

"Maka dengan penggubalan akta baru nanti secara automatik akan membahagikan pemain industri dalam bidang ini kepada tiga tahap," katanya.

Hamzah berkata tahap satu adalah untuk koperasi besar, tahap dua bagi koperasi sederhana dan berkeupayaan untuk menjadi tahap satu (tier 1) manakala tahap tiga untuk koperasi yang baru dibuka.

"Undang-undang kita hari ini ia merangkumi semua iaitu koperasi yang barudan juga koperasi yang sudah lama maju. Maka ia menyulitkan lagi kepada mereka yang maju untuk memperbesarkan lagi perniagaan mereka. 

"Sebab itu saya mengarahkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) mengkaji semula akta sedia ada untuk memastikan akta-akta ini sesuai dalam keadaan global kita pada hari ini yang mana kita bukan sahaja dapat bersaing dalam negara sahaja malahan juga di seluruh dunia," katanya. -Bernama

Tags / Kata Kunci: Koperasi Ah Long , KPDNKK

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan