Empat Jam 'Drama' Tebusan Yang Mendebarkan

Diterbitkan: Sabtu, 13 Ogos 2016 11:27 AM

(Ubah saiz teks)

BATU PAHAT: Pemilik kedai seramik mengharungi tempoh empat jam yang mendebarkan apabila bekas rakan kongsi perniagaannya berjalan masuk dan mengacukan pistol kepadanya dan ke arah dirinya sendiri.

"Dia ugut saya, jika saya enggan beri wang RM300,000, kami berdua akan mati," kata ahli perniagaan Mah Touw Keow, 53.

Suspek telah masuk ke dalam kedai itu kira-kira pukul 8.30 malam Khamis dan memberitahu Touw Keow bahawa dia mempunyai dua pucuk pistol dan mempunyai 100 butir peluru dalam poketnya.

Akhirnya, Touw Keow menghubungi saudara-maranya yang berjaya menyerahkan jumlah wang yang dimintanya di kedai tersebut.

Pada masa itu, polis telah pun dimaklumkan tentang kejadian, menyebabkan lelaki berusia 44 tahun itu gelisah.

"Dia menjadi lebih agresif, memaksa polis melancarkan serangan untuk menyelamatkan tebusan.

"Suspek kemudiannya bertindak menembak mangsa dan pada ketika itulah polis mengambil tindakan dan berjaya menembak mati suspek," kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat kepada pemberita di tempat kejadian.



Polis menemui dua pucuk pistol revolver dan Smith & Wesson separa automatik yang kedua-duanya mempunyai peluru, katanya dalam satu kenyataan.

Touw Keow ketika ditemui di kedainya di Jalan Ayer Hitam-Kluang, pada Jumaat berkata terdapat kira-kira lapan pekerja dan dua orang pelanggan di tempat di mana 'drama' itu berlaku.

Bagaimanapun tiada siapa yang cedera.

Touw Keow, ibu tunggal dengan empat anak berkata lelaki itu telah datang ke kedainya ketika dia tiada, sehari sebelum kejadian.

"Ketika itu kedai dikendalikan salah seorang anak saya. Lelaki itu meminta wang tapi anak saya tidak melayan permintaannya," katanya.

Touw Keow berkata, dia pernah mempunyai urusan perniagaan dengan lelaki itu pada tahun 2006.

"Saya tidak pernah berjumpa atau mendengar khabar tentang dirinya selepas urusan perniagaan terakhir kami sehinggalah dia datang ke kedai saya dan menuntut wang malam itu," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Ayer Itam Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memuji kecekapan anggota polis.

Beliau berkata pihak polis telah berusaha menjejaki pergerakan pesalah menerusi kamera litar tertutup.

"Saya telah menghantar SMS kepada Ketua Polis Johor dan Ketua Polis Negara bagi merakamkan penghargaan di atas kepimpinan mereka," tulis beliau di Facebook.

Tags / Kata Kunci: tebusan , Mah Touw Keow , kedai seramik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan