Najib Kecewa Pemimpin Sebelumnya Bersubahat Dengan Musuh Politik

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2016 4:23 PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersalaman dengan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada majlis pertukaran empat dokumen MoA bagi pembangunan wilayah merentasi sempadan negeri NCIA di Bangunan Perdana Putra, Jumaat. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid (kanan).

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, tiada bezanya kepimpinan beliau dan pemimpin terdahulu kerana kedua-duanya tidak terlepas daripada tohmahan.

Namun, Najib melahirkan kekecewaan atas sikap pemimpin tersebut yang kini memilih untuk bersubahat dengan musuh politik, walaupun pernah dituduh sebagai pemberi rasuah, salah guna kuasa dan kepala perompak oleh pihak berkenaan.

"Amat mengecewakan apabila seorang pemimpin lama hari ini sanggup menggadaikan perjuangan atas nama agama, bangsa dan negara semata-mata ingin bersekongkol dengan parti lain yang matlamatnya terang-terang bertentangan dengan matlamat dan nilai parti yang diperjuangkannya (pemimpin itu) dahulu.

"(Semata-mata) Demi menjatuhkan kerajaan, yakni yang beliau sendiri asaskan kerajaan hari ini," kata perdana menteri menerusi rakaman audio terbaharu di laman www.najibrazak.com.

Perdana menteri berkata umum mengetahui bahawa pemimpin tersebut sebelum ini sanggup melakukan apa sahaja dalam usaha menjatuhkan kerajaan hari ini, semata-mata menjaga air muka dan ego sendiri.

Najib berkata atas sebab ego, pemimpin tersebut sering melontarkan pelbagai tohmahan terhadap kepimpinan serta anggota pentadbiran kini, walaupun apa yang dilontarkan berbaur fitnah dan diperbesar-besarkan. 

"Adakah beliau tidak terkecuali daripada tohmahan yang beliau lemparkan ke atas saya ketika zaman beliau memegang kuasa?

"Walau apapun tohmahan yang dilemparkan kepada beliau dahulu, bangunan serta infrastruktur tetap dibangunkan, negara tetap dapat melalui proses transformasi walaupun musuh politik dahulu yang kini beliau bersubahat dengan, menuduh beliau sebagai pemberi rasuah, salah guna kuasa dan kepala perompak," kata perdana menteri.

Namun, di sebalik serangan pemimpin berkenaan, Najib menegaskan beliau akan meneruskan tanggungjawab serta tugas beliau dalam membangunkan agama, bangsa dan negara.-- Bernama


Tags / Kata Kunci: Najib Tun Razak , Perdana Menteri , politik

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan