44 Peratus Pekerja Tiada Skim Perlindungan Persaraan - KWSP

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2016 10:09 AM

KWSP
(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Lebih enam juta rakyat Malaysia yang bekerja sendiri atau berada dalam sektor semi-formal tidak dilindungi mana-mana skim persaraan kerana kurangnya sistem perlindungan sosial menyeluruh.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Strategi) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Tunku Alizakri Alias ​​berkata, 10 peratus daripada tenaga kerja telah dilindungi di bawah skim pencen dan 46 peratus di bawah KWSP disebabkan ketetapan undang-undang, tetapi baki 44 peratus tidak dinyatakan.

"Kami sendiri agak khuatir kerana pencarum sewajarnya tahu apa yang mereka lakukan.

"Dari sudut celik kewangan adalah perlu untuk anda mempertingkatkan diri seberapa pantas yang boleh," kata Tunku Alizakri kepada pemberita selepas Persidangan Antarabangsa Keselamatan Sosial 2016 di sini, Khamis.

Beliau menggesa para pencarum supaya memastikan tahap kewangan masing-masing berkeadaan baik dan tidak hanya bergantung kepada simpanan persaraan semata-mata.

Katanya, mereka sebaliknya boleh menimbang pilihan lain seperti unit amanah dan skim persaraan swasta.

"Bagi KWSP, kami ada menyediakan perkhidmatan nasihat persaraan. Kalangan pencarum mahupun orang ramai berpeluang menilai tahap kewangan masing-masing secara percuma, namun (pada masa sama) anda perlu bersikap terbuka," katanya.

Alizakri juga menegaskan tiada sebarang perubahan dalam strategi pelaburan KWSP berikutan langkah memperkenalkan Simpanan Shariah.

"Kami ada peruntukan aset strategik kami dan akan mematuhinya. Apa yang berbeza hanyalah dari segi patuh Syariah," katanya.

Persidangan dua hari bertemakan "Penuaan Aktif: Hayat Panjang dan Hidup Sejahtera" itu dianjurkan bersama oleh KWSP dan State Street, salah satu penyedia perkhidmatan kewangan terkemuka dunia kepada pelabur institusi.

Acara itu membincangkan aspek penuaan secara sihat dan mewujudkan masyarakat mesra usia serta menggalakkan penglibatan generasi tua dalam landskap ekonomi dan sosial.

Tags / Kata Kunci: KWSP , Tunku Alizakri Alias , skim persaraan

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan