#AnakAnakMalaysia Walk: Ajari Generasi Muda Tentang 'Harmoni'

Diterbitkan: Rabu, 10 Ogos 2016 10:11 AM

Lisa Surihani

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Ketika pelakon Lisa Surihani membuat posting perayaan Hari Natal di media sosial pada tahun 2009, beliau terkejut apabila ucapan ikhlasnya kepada penganut agama Kristian mendapat tindak balas kurang menyenangkan daripada netizen.

"Saya menerima banyak kata-kata yang mendakwa saya tidak menjadi seorang Muslim yang baik. Saya tidak tahu apa salah saya.

"Pengetahuan agama saya mungkin tidak banyak, tetapi saya tahu bahawa saya masih menghormati agama dan kepercayaan saya.

"Saya datang daripada latar belakang yang pelbagai dan mempunyai keluarga dan ramai rakan yang meraikan Krismas.

"Sejak itu, saya sedar bahawa saya perlu berhati-hati tentang apa yang saya mahu tulis di media sosial pada masa akan datang, tetapi ia tidak menghalang saya daripada menjadi diri saya sendiri," imbas ibu kepada seorang anak perempuan berusia 11 bulan ini.

Justeru, Lisa terus menulis ucapan untuk semua perayaan utama di Malaysia, termasuk Tahun Baru Cina, Deepavali dan Thaipusam sambil menegaskan ia dibuat bertujuan menghormati penganut agama lain.

"Bagaimanapun, saya masih menerima beberapa tindak balas," kata artis popular ini dan yang juga lulusan undang-undang dari Universiti Aberystwyth, Wales.

"Saya pergi ke sekolah antarabangsa yang mengajar pelajaran sivik. Kami belajar tentang kerajaan, perlembagaan dan menghormati kepercayaan masing-masing dan ia telah berakar umbi dalam diri kami sejak kecil lagi.

"Kanak-kanak harus dibenarkan untuk bergaul bebas sejak kecil. Bagaimana mereka dapat berbuat demikian di sekolah jika mereka diasingkan mengikut kaum?

"Tidak banyak yang boleh dilakukan untuk generasi saya melainkan meningkatkan kesedaran. Tetapi masih ada masa untuk buat perubahan dalam sistem persekolahan," kata isteri kepada penyanyi, pelakon dan pengarah Yusry Abdul Halim.

Lisa akan mengambil bahagian dalam #AnakAnakMalaysia Walk 2016.

"Usaha Star Media Group adalah cara yang baik untuk mengingatkan orang ramai tentang asal usul kita dan siapa sebenarnya kita. Saya harap semua orang menyedarinya dan menanam harapan untuk mewujudkan masyarakat yang lebih harmoni, terutamanya di kalangan generasi muda," katanya.

#AnakAnakMalaysia Walk 2016 yang akan diadakan menjelang sambutan Hari Kebangsaan akan bermula di Pusat Bandar Bukit Bintang Ahad ini.

Acara jalan kaki sejauh 3.4km itu bermula dari persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Pudu di tapak bekas Penjara Pudu dan akan dilepaskan oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

#AnakAnakMalaysia Walk 2016 dianjurkan oleh Star Media Group dengan kerjasama EcoWorld. Penaja lain untuk acara tersebut termasuklah Penaja Kereta: Proton, Penaja Emas: Panasonic dan Penaja Perak: Tenaga Nasional dan YES.

Untuk maklumat lanjut, hubungi 03-7967 1388, ext 1432/1529/1243 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan