'Perang' Dua Ahmad, MB Terengganu Tolak Dakwaan Sabotaj Pilihan Raya

Diterbitkan: Sabtu, 6 Ogos 2016 8:56 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Perbalahan antara Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said semakin rancak menjelang persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditunggu-tunggu pada Isnin ini.

Ahmad Razif pada Jumaat menafikan dakwaan sabotaj dan "rampasan kuasa" semasa pilihan raya umum lepas untuk melemahkan Ahmad yang ketika itu adalah menteri besar.

"Adalah tidak masuk akal untuk menuduh saya sabotaj atau mengadakan rampasan kuasa bagi menggulingkan menteri besar dengan kuasa saya yang terhad pada ketika itu. Mengapa saya akan berbuat demikian?

"Saya hanya seorang calon pilihan raya pada masa itu dan memberi tumpuan untuk memenangi kerusi saya sendiri di Seberang Takir," katanya.

Ahmad Razif berkata Ahmad hanya perlu menerima tanggungjawab dan bukannya cuba untuk menyalahkan orang lain.

Ahmad yang menjadi duri dalam daging bagi pentadbiran Ahmad Razif telah menyalahkan menteri besar itu berikutan prestasi buruk Terengganu pada pilihan raya umum 2013 yang menyaksikan Barisan Nasional memenangi hanya 17 kerusi berbanding 14 oleh PAS dan satu lagi oleh PKR.

Perbalahan lisan antara kedua-dua Ahmad itu telah menambah kepada spekulasi kemungkinan pilihan raya tergempar akan diadakan di Terengganu.

Ahmad mendakwa Ahmad Razif tahu mengenai rampasan kuasa untuk menggulingkannya sebagai menteri besar.

Ahmad juga mendakwa bahawa Ahmad Razif telah bertemu beliau untuk memberitahu mengenai rampasan kuasa selepas pilihan raya umum dan mengulangi permintaan agar menteri besar itu perlu meletak jawatan.

Sementara itu di pihak Ahmad Razif, beliau telah mencetuskan kemarahan di kalangan pemimpin terdahulu apabila mengeluarkan kenyataan menunjukkan bahawa Ahmad adalah penyebab atau "ibu segala masalah" yang menyebabkan BN hampir kalah di negeri itu pada pilihan raya umum lalu.

Pada 2008 BN menang 28 daripada 32 kerusi.

Ahmad Razif berkata beliau tidak mempunyai niat untuk meletakkan jawatan.

Sebaliknya beliau berkata, Ahmad yang mengugut untuk keluar parti dan menyertai pembangkang boleh melakukan apa sahaja yang beliau mahu.

"Jika tindakan beliau menyebabkan pilihan raya negeri, kami yakin dapat memperoleh kemenangan yang lebih besar. Membubarkan DUN adalah pilihan terakhir dan saya berharap kita tidak perlu berbuat demikian," katanya.

Beliau bagaimanapun mengingatkan Ahmad mengenai sumpah kesetiaan kepada Umno dan BN serta ikrar semua wakil rakyat negeri itu semasa mesyuarat di Putrajaya.

Selain itu Ahmad Razif juga mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang telah menyatakan bahawa parti itu tidak berminat untuk membentuk kerajaan dengan menerima seseorang yang mahu melompat dari pihak lain.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Razif Abd Rahman , Ahmad Said

iklan

Video

Jumaat, 20 Oktober 2017 2:30 PM

Umur Dah Lanjut Pun Nak Menyanyi Lagi?

Jumaat, 20 Oktober 2017 9:00 AM

#akuStar: Irfan Haris - Pesan

Jumaat, 20 Oktober 2017 8:30 AM

Donut Untuk Sang Hero

Khamis, 19 Oktober 2017 1:00 PM

Lebih Baik Jual Album Sendiri - Firman

Khamis, 19 Oktober 2017 9:00 AM

Tudiaaa... Fesyen Mengancam Selebriti ASK2017

Khamis, 19 Oktober 2017 8:30 AM

Keringat Wanita Waja

Rabu, 18 Oktober 2017 10:52 AM

"Saya Bukan Ustaz" - Opick

Selasa, 17 Oktober 2017 2:49 PM

Video Majlis Resepsi 'Tycoon' Air Asia Tular

Selasa, 17 Oktober 2017 2:24 PM

Sabar Kakak, Benda Boleh Bincang...

Kolumnis

iklan

Iklan