Malaysia-Ukraine Komited Bawa Pelaku MH17 Ke Muka Pengadilan - PM

Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 9:05 PM

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko pada sidang media bersama sempena lawatan rasmi di Pejabat Perdana Menteri, Khamis.
 -fotoBERNAMA

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Malaysia dan Ukraine komited untuk mencari kebenaran berhubung insiden penembakan pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17 dan membawa pelakunya ke muka pengadilan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Ukraine Petro Poroshenko membuat ikrar itu pada sidang media bersama antara kedua-dua pemimpin di sini hari ini selepas berlangsung mesyuarat dua hala antara kedua-dua mereka.

Najib berkata Malaysia dan Ukraine sedang menunggu laporan siasatan jenayah yang dijangka dikeluarkan pada akhir tahun ini.

Beliau berkata selepas laporan itu dikeluarkan, lima negara - Australia, Belgium, Malaysia, Belanda dan Ukraine akan bertemu sekali lagi dan mencapai persetujuan mengenai tindakan seterusnya.

"(Mesyuarat) ini untuk memastikan keadilan dilaksanakan agar mereka yang bertanggungjawab ke atas insiden tersebut dan pelaku yang menembak jatuh pesawat awam dihukum.

"Berhubung dengan MH17, kami komited untuk melakukan apa-apa yang mungkin terutama demi keluarga yang kehilangan orang tersayang dalam insiden yang tragik itu," kata Najib.

Pesawat Boeing B777 itu yang membawa 298 orang termasuk anak kapal, ditembak jatuh di timur Ukraine semasa dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada 17 Julai, 2014.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada 16 Julai berkata Malaysia berharap dapat menerima rumusan awal laporan penyelidikan forensik mengenai Penerbangan MH17 oleh Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) termasuk jenis senjata yang digunakan dan maklumat penting lain yang berkaitan.

Poroshenko yang menyuarakan sentimen yang serupa berkata Ukraine juga  komited tentang perlunya melengkapkan siasatan tragedi MH17, dan untuk memastikan semua cara digunakan sebaik mungkin untuk membawa pelaku ke muka pengadilan.

"Ini adalah cara kami untuk memberi penghormatan kepada mereka tidak bersalah yang terkorban dan juga kewajipan kami kepada mangsa dan keluarga mereka.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan takziah dengan tulus ikhlas kepada semua keluarga yang banyak mengalami kesengsaraan akibat serangan pengganas ke atas MH17," kata beliau.

Terdahulu, Najib dan Poroshenko menyaksikan majlis pemeteraian dua perjanjian dan persetujuan antara kedua-dua negara meliputi pelbagai bidang.

Kedua-dua kerajaan mencapai persetujuan bagi mengelakkan cukai dua kali dan mencegah pengelakkan fiskal berhubung dengan cukai ke atas pendapatan.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Ukraine Pavlo Klimkin. Kedua-dua menteri juga memeterai perjanjian mengenai ekstradisi.

Sementara itu, Klimkin juga menandatangani perjanjian mengenai bantuan guaman bersama dalam hal-hal jenayah dan Malaysia diwakili oleh Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali.

Poroshenko tiba semalam untuk melakukan lawatan rasmi selama tiga hari ke Malaysia.
Tags / Kata Kunci: MH17 , Petro Poroshenko , ikrar

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan