Saya Tidak Akan Tunduk, Kata MB Terengganu

Diterbitkan: Khamis, 4 Ogos 2016 7:41 AM

Ahmad Razif Abdul Rahman.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman tidak akan tunduk kepada tekanan supaya beliau berundur walaupun terdapat pergolakan politik dalam kerajaan negeri itu.

Pemimpin itu tidak mengambil serius terhadap sebarang kemungkinan Dewan Undangan Negeri (DUN) akan tergantung di negeri itu semasa sidang itu akan diadakan pada Isnin depan.

Ahmad Razif, yang mendapat 'serangan' daripada penyandang jawatan terdahulu, Datuk Seri Ahmad Said menegaskan bahawa "semuanya berjalan lancar dengan keluarga Umno" di Terengganu dan menyatakan bahawa tidak akan ada pilihan raya negeri mengejut.

"Senario politik di negeri ini adalah stabil walaupun ada sesetengah pihak yang mencetuskan masalah sebelum sidang DUN," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.

Kesemua sembilan exco menghadiri mesyuarat itu, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib yang mengadakan sidang media pada Selasa dengan membuat kritikan terhadap Menteri Besar dan mempertahankan Ahmad Said.

Ahmad Razif yang berusaha untuk mengurangkan spekulasi bahawa akan terdapat satu lagi usul undi tidak percaya terhadap beliau, berkata, Speaker Dewan Undangan Negeri tidak dimaklumkan mengenai usul berkenaan, yang memerlukan notis 14 hari.

Speaker Datuk Mohd Zubir Embong mengesahkan beliau tidak menerima notis berkaitan usul tersebut.

Sementara itu, sumber rapat dengan Menteri Besar berkata, isu pilihan raya negeri mengejut dibincangkan dalam mesyuarat tertutup dua hari lalu.

Mesyuarat tersebut bersepakat bahawa cara terbaik untuk menyelesaikan dilema yang timbul ialah menerusi pembubaran DUN dan mengadakan pilihan raya baharu.

"Masalah berlaku membabitkan segelintir Adun dan bukan majoriti. Kita bersetuju jika terdapat desakan, MB tidak akan berundur tetapi akan menghadap Sultan untuk membubarkan sidang DUN. Semua dalam Umno bersedia dengan pilihan raya mengejut dan penentuan akan dibuat pada 8 Ogos," menurut sumber itu.

Barisan Nasional menang tipis di Terengganu pada pilihan raya umum lalu, dengan memperoleh kemenangan sebanyak 17 kerusi, manakala PAS 14, dan satu oleh PKR.

Setahun kemudian, Ahmad Razif menggantikan Ahmad Said sebagai Menteri Besar.

Ahmad Said yang merupakan Adun Kijal akan memberi tekanan setiap kali sidang DUN diadakan.

Ucapannya yang 'berapi-api' pada satu majlis Umno di Kemaman pada Sabtu dilihat sebagai isyarat bahawa beliau akan mencetuskan lagi kekecohan dalam sidang DUN pada Isnin.

Bercakap kepada The Star ketika dihubungi, Ahmad Said berkata, Ahmad Razif sepatutnya berterima kasih kerana beliau masih lagi menjadi Menteri Besar.

"Bayangkan jika saya keluar parti sekarang. Dalam tempoh 24 jam, dia tidak lagi menjadi MB. Tidakkah dia sedar tentang perkara ini? Saya memerhati dan mendiamkan diri sejak dua tahun lalu. Sekarang semua orang boleh melihat apa yang berlaku dan apa yang dia buat," katanya.

Beliau mengetepikan dakwaan bahawa Barisan Nasional akan menang sekiranya berlaku pilihan raya mengejut dan menolak dakwaan mengenai Ahmad Razif akan memperoleh sokongan daripada Adun PAS.

"Adakah anda fikir PAS akan mahu membazirkan peluang mereka dan menunggu. Anda fikir PAS bodoh? Pembangkang sudah mempunyai 15 kerusi; mereka hanya perlukan dua lagi dan mereka boleh mengambil kesempatan terhadap keadaan yang berlaku dan perbalahan dalaman."

Bagaimanapun, beliau enggan menyatakan sama ada terdapat satu lagi langkah untuk membentangkan usul tidak percaya terhadap Ahmad Razif.

Pada sidang DUN Mac lalu, Ahmad Said cuba untuk menggerakkan usul undi tidak percaya terhadap Menteri Besar tetapi gagal.

Ghazali ketika ditemui selepas mesyuarat exco negeri berkata, beliau tidak melakukan sebarang kesalahan dalam mengkritik Menteri Besar.

"Saya suka parti dan negara. Saya tidak fikir apa yang saya katakan adalah salah. Kita mahu keadaan menjadi lancar demi parti dan rakyat. Apa yang boleh saya katakan 'kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai'," katanya.

Mengenai sebarang tindakan akan diambil terhadap Ghazali, Ahmad Razif berkata, beliau tidak melihatnya sebagai satu keperluan tetapi menyerahkan perkara tersebut kepada kepimpinan yang lebih tinggi dalam Umno.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Said , Ahmad Razif Abdul Rahman

iklan

Video

Ahad, 17 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: InTeam - Kasih Kekasih

Jumaat, 15 Disember 2017 2:27 PM

Biarlah Ia Berlalu" - Adi Putra

Jumaat, 15 Disember 2017 11:51 AM

Aksi 'Rempit' Fasha Sandha Jadi Perhatian

Jumaat, 15 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Pesawat - Luluh

Khamis, 14 Disember 2017 1:00 PM

Peminat Lega Tiada Suara 'Kepit' Sajat

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Kolumnis

iklan

Iklan