Umno Perlis Tidak Halang Ahli Dengar Ceramah, Kempen - Shahidan

Diterbitkan: Selasa, 2 Ogos 2016 10:36 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Umno Perlis tidak melarang anggotanya mendengar ceramah atau kempen mana-mana pihak di negeri ini namun mereka dilarang terlibat dengan penganjurannya, kata Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Beliau berkata tindakan disiplin akan diambil ke atas anggota-anggota parti yang didapati terbabit menganjur ceramah atau berkempen untuk pembangkang.

"Saya ingin mengingatkan ahli-ahli Umno supaya tidak melanggar disiplin sebaliknya meletakkan kepentingan parti melebihi kepentingan diri," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat perhubungan negeri di sini, malam tadi.

Shahidan mengulas dakwaan ramai anggota Umno menghadiri ceramah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Arau pada malam Khamis lepas.

"Ahli-ahli Umno mesti meletakkan disiplin mereka pada tahap tertinggi, sayang dan cintakan parti kerana Umno satu-satunya parti yang terbukti memperjuangkan bangsa, agama dan meletakkan negara pada tahap kukuh," katanya.

Sehubungan itu, Shahidan mahu pemimpin-pemimpin parti lebih kerap mendampingi rakyat, menyelami masalah dan membantu mereka menyelesaikannya.

Beliau berkata mesyuarat tersebut memutuskan perasmian persidangan Umno bahagian Kangar, Padang Besar dan Arau termasuk ketiga-tiga sayap dibuat serentak secara berkelompok pada 3 September depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijadual merasmikan mesyuarat tersebut di Dewan 2020 yang dijangka dihadiri lebih 7,000 orang perwakilan.

Katanya mesyuarat cawangan ketiga-tiga bahagian itu telah selesai sementara tarikh persidangan bahagian akan diputuskan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Umno Perlis akan mengusulkan pengambilan pekerja asing oleh mana-mana pihak dibuat mengikut formula atau nisbah 1:1 dan dijadikan syarat wajib.

Sebagai contoh, jika sesebuah syarikat mengambil 1,000 pekerja asing, mereka mesti mengambil 1,000 pekerja tempatan, kata Shahidan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Rakyat tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada orang asing sehinggakan hal-hal kecil yang mudah seperti urusan rumah tangga dan pengawal keselamatan pun mesti orang asing yang melakukannya.

"Saya fikir kebergantungan ini (pada orang asing) mesti dihentikan kecuali dalam sektor tertentu seperti perladangan dan pembinaan," kata Shahidan.

Tags / Kata Kunci: Umno , BN , Shahidan Kassim

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan