Terserah Kepada Umno Ambil Tindakan Terhadap Ahmad Said - Berita Semasa | mStar

Terserah Kepada Umno Ambil Tindakan Terhadap Ahmad Said

Diterbitkan: Selasa, 2 Ogos 2016 5:54 PM

Ahmad Razif (kiri) dan Ahmad Said.

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu menyerahkan kepada Lembaga Disiplin parti untuk mengambil tindakan terhadap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang didapati lantang menkritik kepimpinan Umno negeri sejak akhir-akhir ini.

Pengerusinya, Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, ia bagi memastikan setiap anggota parti yang didapati melanggar disiplin dikenakan tindakan tanpa mengira status dan jawatan beliau di dalam parti.

"Kita akan ambil tindakan berasaskan disiplin parti, kalau sesiapa bersalah kita akan ambil tindakan kalau kata saya sendiri bersalah perlu diambil tindakan.

"Kalau dipecat, itu terpulang kepada Lembaga Disiplin Umno, kalau dia bersalah, bersalahlah. Kita di peringkat Badan Perhubungan (Umno Negeri) akan menghantar laporan ke peringkat tertinggi untuk diambil tindakan. 

"Ini adalah asas yang perlu didokong oleh parti yang mempunyai prinsip (seperti Umno)," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis sambutan Hari Raya Terengganu Inc di sini, Selasa.

Ahmad Razif mengulas mengenai desakan beliau kepada Majlis Tertinggi Umno supaya memecat Ahmad berikutan tindakannya itu.

Ahmad Razif yang juga Menteri Besar Terengganu dalam pada itu berkata sebelum ini Badan Perhubungan Umno pernah membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti terhadap beberapa individu yang didapati berpaling tadah pada pilihan raya sebelum ini dan juga pihak yang cuba menggugat kestabilan politik negeri ini.

"Ini tugas saya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, Jika kita tidak berani ambil tindakan ia akan jadi berat sebelah dan ini akan menyebabkan kepercayaan anggota Umno yang lain akan tergugat, yang ini kita perlu perkasakan," katanya.

Ditanya sama ada tindakan itu akan menggugat sokongan anggota parti terhadap beliau, Ahmad Razif berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan situasi itu kerana apa yang penting adalah memastikan disiplin dan peraturan parti dilaksanakan dengan sebaiknya.

"Kalau kita (parti) berani ambil tindakan terhadap bekas Timbalan Presiden dan Naib Presiden parti, itu bagi saya adalah satu kekuatan dan ini menunjukkan Umno kini semakin kuat sebenarnya," katanya.

Tags / Kata Kunci: Ahmad Said , Ahmad Razif Abdul Rahman , Umno
   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan