Tabung Haji Optimis Langkah Keselamatan Arab Saudi

Diterbitkan: Ahad, 31 Julai 2016 9:24 AM

(Ubah saiz teks)

MADINAH: Lembaga Tabung Haji (TH) berpuas hati dan  yakin dengan langkah keselamatan yang telah diambil kerajaan Arab Saudi bagi membendung insiden yang tidak diingini sepanjang musim haji tahun ini.

Naib Konsul Haji Malaysia Mohd Zawawi Bostam berkata ia berikutan beberapa langkah mengetatkan kawalan keselamatan yang dilakukan di tempat strategik termasuk di hotel penginapan.

"Saya berasa yakin dengan langkah-langkah keselamatan yang telah diambil itu dan kita dapat lihat mereka telah menempatkan anggota polis di sekitar  masjid dan juga tempat strategik.

"Pihak hotel juga telah memaklumkan mereka telah menyediakan alat pengimbas keselamatan di pintu masuk bagi tujuan yang sama," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Hal-Ehwal Jemaah Haji Malaysia di sini, Sabtu.

Pada 4 Julai lalu, empat dilaporkan maut manakala lima lagi cedera dalam  insiden letupan di perkarangan Masjid Nabawi di sini.

Bagaimanapun tiada rakyat Malaysia menjadi mangsa dalam letupan berkenaan.

Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam satu kenyataan berkata serangan itu berlaku ketika orang ramai sedang menunggu waktu berbuka puasa.

Mohd Zawawi yang juga Pengarah Operasi Madinah berkata pihak hotel juga telah menyediakan beberapa langkah keselamatan lain dan sebarang perkembangan, TH akan memaklumkannya kepada jemaah haji nanti.

"Soal keselamatan adalah perkara kritikal di Arab Saudi dan kami ingin  menasihati para jemaah agar jangan mencampuri soal keselamatan ini dan juga tidak membawa unsur-unsur berpolitik," katanya.

Sementara itu, TH juga kini sudah bersiap sedia menerima kedatangan seramai 22,320 jemaah haji Malaysia musim ini dengan membuat beberapa penambahbaikan  untuk keselesaan jemaah.

"Antara penambahbaikan itu adalah menggunakan bas yang lebih selesa dan langkah membawa bagasi para jemaah dengan lebih sistematik," katanya.

Beliau berkata selain itu petugas TH juga telah bersiap sedia untuk  memberikan khidmat sokongan kepada jemaah iaitu khidmat kesihatan, pengeluaran  wang, kaunseling dan khidmat pelanggan.

"Kini seramai 70 peratus petugas TH di Madinah telah sampai dan sebahagian besar menggunakan khidmat petugas yang berpengalaman," katanya.

Mohd Zawawi turut menasihati jemaah agar mengambil langkah sewajarnya bagi menangani keadaan cuaca panas yang dijangka melebihi 40 darjah Celcius bagi  mengelak berlakunya masalah kesihatan.

Beliau juga turut menasihati agar para jemaah menumpukan sepenuhnya dalam soal menunaikan haji dan tidak terbabit dalam perkara yang boleh melanggar  undang-undang Arab Saudi.

Pada musim haji ini seramai 11,796 jemaah akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Madinah manakala bakinya di Lapangan Terbang Antarabangsa King AbdulAziz di Jeddah.

Ia membabitkan sebanyak 47 penerbangan iaitu 25 penerbangan ke Madinah dan bakinya ke Jeddah.

Tags / Kata Kunci: Arab Saudi , Tabung Haji

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan